Keluarga empat beranak maut mohon bantu dapatkan dashcam

KELUARGA kepada empat sekeluarga yang maut dalam nahas di Jalan Saratok, Sarikei pada Isnin, meminta bantuan orang ramai sekiranya terjumpa ‘dashcam’ (kamera papan pemuka) yang hilang selepas kemalangan tersebut agar memulangkannya.

Bapa saudara kepada mangsa, Sharkawi Basri berkata, ‘dashcam’ itu penting kerana akan kerana merupakan bukti utama kemalangan tersebut.

“Bantu kami dapatkan dashcam, terlalu banyak versi kemalangan.

“Jika ada sesiapa terjumpa ‘dashcam’ tolong serah kepada kami, bukan untuk menyalahkan sesiapa, cuma mahu tahu kebenaran.

“Kalau boleh kita nak dapatkan semula kamera papan pemuka yang hilang selepas kemalangan tersebut. Dengan itu (kamera) dapat menunjukkan bukti bagaimana situasi sebenar kemalangan.

“Sesiapa yang terjumpa atau berada di tempat kejadian, mohon kerjasama anda, bukan untuk mencari salah tetapi kami mahu cerita sebenar, macam-macam versi di media sosial,” katanya ketika ditemui di Taman Laruh Skim, Kuching, malam tadi, lapor Astro Awani.

Menurutnya lagi, usaha mencari dan mengesan kamera tersebut katanya masih belum menemui sebarang petunjuk.

Sharkawi berkata, pemergian empat sekeluarga itu amat dirasai lebih-lebih lagi Allahyarham Azwin merupakan anak sulung.

Sementara itu jenazah empat sekeluarga yang maut itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gita di Kuching pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Jenazah Azwin Yusman, 30, isteri Nadziran Mohd Nor, 28, dan dua anaknya Hazreen Zharfan, 4, dan bayi Hazeef Zharfan, 1 tahun 3 bulan, tiba di kediaman keluarga di Taman Laruh Skim pada pukul 11:51 malam dari Hospital Saratok yang terletak kira-kira 303 kilometer.

Suasana pilu menyelubungi kediaman mangsa sebaik ketibaan van jenazah yang membawa empat beranak itu.

Dalam kejadian Isnin, kenderaan yang dinaiki Azwin bersama isteri dan dua anaknya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di simpang Roban dekat Jalan Saratok.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *