Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
WARTAWAN sering menjadi kambing hitam apabila sebarang kenyataan atau temubual yang disiarkan melibatkan seseorang pemimpin menimbulkan perasaan kurang senang pihak lain.
Pemimpin yang terkesan itu akan menggunakan alasan popular iaitu kenyataannya telah dipetik di luar konteks sebenar apa yang telah diucapkan.
Mengambil contoh situasi yang berlaku melibatkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilaporkan memberitahu sebuah portal berita lain bahawa temubualnya bersama Asia Times yang menyentuh isu Najib dipetik di luar konteks.
Mempertahankan apa yang disiarkan, wartawan Asia Times menerbitkan fail rakaman audio bersama Mohamad ataupun Tok Mat.
Fail audio 75 minit yang mempunyai tiga rakaman boleh diperolehi di Twitter dan orang ramai boleh menilai sendiri apa yang telah diperkatakan dalam temubual itu.
Penulis sendiri apabila membaca penjelasan dan bukti daripada wartawan Asia Times bersetuju bahawa artikel itu diterbitkan berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Tok Mat tanpa pengubahan fakta.
Malah, dari sudut prinsip integriti, penulis merasakan bahawa Tok Mat tidak perlu bimbang kenyataannya tidak disukai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penyokongnya kerana ia adalah kenyataan yang benar.
Walau apa pun pandangan pihak lain, Tok Mat tidak perlu menafikannya kerana apa yang dinyatakan itu seiring dengan pandangan awam.
Memetik semula temuramah bersama portal berita antarabangsa itu, Tok Mat berkata adalah salah bagi seseorang pemimpin yang telah dibuktikan bersalah oleh mahkamah mendapat pengampunan diraja sebelum menjalani hukuman di penjara.
Kata ADUN Rantau itu, banyak kes melibatkan pemimpin kanan UMNO sebelum ini menyaksikan mereka menjalani hukuman sebelum diberikan pengampunan dan dibebaskan.
Tok Mat berkata, Najib perlu melalui proses untuk mendapatkan pengampunan, seperti mana yang berlaku melibatkan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Harun Idris, dan Datuk Mokhtar Hashim.
Katanya lagi seperti dilaporkan, Najib juga tidak boleh berharap mendapat layanan istimewa daripada kerajaan yang dipimpin UMNO dan BN sekiranya Ahli Parlimen Pekan itu dipenjarakan berhubung kes rasuah.
“Mahkamah adalah satu-satunya tempat untuk anda membuktikan anda tidak bersalah atau sebaliknya. Dia (Najib) tidak membuktikannya, dan dia tidak mampu membuktikannya. Jadi semua orang perlu membayarnya.”
“Jika mahukan pengampunan, dia perlu melalui proses. Dia perlu masuk ke dalam (penjara) terlebih dahulu,” kata Tok Mat.
Selain itu, kenyataan Tok Mat turut dihargai Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengucapkan tahniah kepada orang nombor dua dalam UMNO itu yang berani menyatakan kebenaran berkenaan kes Najib.
Kata Rafizi, walaupun PKR dan UMNO berseteru, tetapi apabila masih ada pemimpin dalam UMNO yang berani bersuara dalam kes Najib yang terlibat dalam skandal 1MDB, ia adalah sesuatu yang positif untuk masa depan negara.
Menurut Rafizi, apa yang dinyatakan Tok Mat amat signifikan kerana Najib ketika ini sedang menyelewengkan fakta bahawa dia tidak bersalah dalam skandal dan kes mahkamah yang dihadapi ketika ini.
Maka, kebenaran yang dikatakan oleh Tok Mat perlu diterima dengan hati terbuka dan pemimpin UMNO lain yang terpengaruh dengan fakta bahawa 1MDB dan kes SRC bukan satu penyelewengan.
Kebenaran tidak boleh ditutup dengan pembohongan kerana fakta berkaitan dua skandal terbesar itu sudah pun terpampang depan mata dan diketahui satu dunia.
Leave a Reply