Siti Aishah Shaik Ismail

Bekas Srikandi PKR selesai beri keterangan, kes diklasifisasi NFA

POLIS mengklasifisasikan siasatan terhadap bekas senator, Siti Aishah Shaik Ismail berkaitan klip videonya yang didakwa mengkritik kerajaan berkaitan isu pemansuhan subsidi, sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).

Menurut Siti Aishah, hal itu dimaklumkan kepadanya selepas pihak polis selesai merakam percakapannya di Bukit Aman, pagi tadi.

“Rakaman percakapan ini untuk membantu siasatan berkenaan satu laporan polis yang dibuat ke atas saya pada 24 Jun lalu membabitkan satu hantaran di Facebook yang memuat naik video tiktok saya yang viral tempoh hari.

“Proses rakam percakapan selama 10 minit berjalan lancar dan pihak saya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan berjalan,” katanya yang turut memaklumkan tiba di Bukit Aman pada 10.40 pagi bersama peguam, Adly Zulfadhly Zulkefly.

Menurut Siti Aishah yang juga bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), proses rakaman keterangan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Pihak D5 juga mengesahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keputusan untuk mengambil tindakan NFA.

“Ini kerana terdapat satu lagi kertas siasatan yang dibuka dan disiasat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan isu video viral yang sama,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *