SERAMAI 13 lelaki warga asing serta seorang wanita warga emas berjaya diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah kedai percetakan di Pudu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.34 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, sepasukan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Jalan Hang Tuah dan Jalan Tun Razak bersama jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bomba tiba di lokasi dan bertindak pantas mengawal kebakaran daripada merebak sehingga ke bangunan sebelah.
“Kesemua lelaki warga asing berusia 25 hingga 45 tahun dan warga emas berusia 76 tahun itu berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah jurucakap itu, kedai tersebut musah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran terbabit.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.24 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya seperti dilaporkan Utusan TV.
Leave a Reply