Wanita maut selepas diseret kira-kira 10 meter

SEORANG pembonceng wanita maut apabila motosikal ditunggang suaminya dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 10 Jalan Kunak-Tawau, dekat Kunak pukul 4.45 petang semalam.

Wanita berkenaan yang merupakan warga Indonesia, 38, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami, 39, dan anaknya, 7, masing-masing mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superitendan Sabarudin Rahmat, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Proton X70.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton X70 dipandu lelaki berusia 54 tahun bersama isteri, dari arah Tawau menuju ke Pekan Kunak sementara motosikal dari arah bertentangan.

“Setibanya di tempat kejadian pemandu Proton X70 telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan pada masa sama, motosikal itu yang datang dari arah bertentangan cuba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang kanan jalan sebelum dilanggar.

“Akibat pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal telah tercampak ke bahu jalan manakala kedua-dua pembonceng dan motosikal terseret kira-kira sepuluh meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabarudin berkata, akibat kemalangan itu penunggang dan anaknya mengalami cedera ringan, manakala isterinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya pemandu SUV dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saksi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Sek. 41(1) APJ 1987,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *