Oleh BADLISHAH MAT

SEJAK lebih 10 tahun lalu, pusat perkelahan Lata Celak yang terletak di Sungai Kupang, Kampung Iboi di Baling menjadi tumpuan penduduk dan pengunjung dari luar untuk bersantai bersama keluarga sambil menikmati kesejukan dan kejernihan air dari puncak Gunung Inas.

Lebih menarik lagi, sekitar tahun 2016, seorang penduduk yang juga peniaga makanan tampil dengan idea untuk menyediakan hidangan di dalam sungai bagi menarik kedatangan pengunjung ke gerainya di situ.

Tetapi tarikan itu tidak bertahan lama kerana kira-kira dua tahun kemudian, projek tanaman Musang King yang dikaitkan sebagai antara punca tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi dan kampung-kampung lain sekitar Kupang pada minggu lalu bermula.

Dilaporkan pada 21 November 2018, kerja-kerja membuat teres di Gunung Inas giat dijalankan. Antaranya dibina rumah pekerja dan sistem kumbahan yang terus disalurkan ke sungai yang menjadi bekalan air bersih 17 kampung melibatkan 21,000 penduduk.

Terdapat kesan minyak mengalir ke dalam sungai serta sisa plastik tidak diurus secara sistematik. Beberapa bulan kemudian, penduduk terjejas dengan pembinaan kolam tadahan di kompartmen 8 Gunung Inas kerana sumber air semula jadi mereka tercemar akibat pembalakan dan projek Musang King.

Kemudian penduduk mula menerima impak yang lebih teruk apabila dilanda banjir lumpur dan sehinggalah pada 4 Julai lalu, bukan sekadar banjir tetapi penduduk Kampung Iboi turut menerima sekali kehadiran timbunan kayu-kayu dan pokok hutan akibat kepala air.

Sebanyak 15 rumah di tebing Sungai Kupang lenyap terus tanpa tinggal tapak. 18 buah lagi pula rosak teruk sehingga mustahil untuk dibaiki melainkan dibina semula. Kesan tragedi itu amat dahsyat di sepanjang hulu sungai sehingga ke kampung.

Peluang penulis menyelusuri kira-kira tiga kilometer tebing sungai itu dari lokasi ‘Ground Zero’ dengan berjalan kaki ke kawasan sehampir yang mampu di kaki gunung tersebut meninggalkan kesan amat mendalam.

Air sungai menjadi bertambah cetek disebabkan timbunan pasir di bahagian dasar. Tetapi alirannya tetap deras walaupun sudah tiga hari bencana berlaku.

Kelebaran sungai pula sudah bertambah luas dan di sepanjang perjalanan itu juga kiri-kanan kawasan tebing Sungai Kupang umpama padang jarak padang tekukur.

Tidak ada lagi batu-batu yang menjadi tempat orang ramai bersantai, pondok-pondok wakaf juga sudah tidak kelihatan. Apatah lagi jambatan-jambatan besi yang dibina untuk memudahkan pengunjung Lata Celak melintasi Sungai Kupang, memang tiada di tempatnya.

Hendak ceritakan keadaan rumah yang lenyap memang tidak boleh. Tetapi, melihat sahaja rumah yang rosak teruk dengan batang pokok sebesar pemeluk orang dewasa berada di ruang tamu, itu sudah cukup menggambarkan situasi hari kejadian.

Apabila bertemu penduduk terutama yang menjadi mangsa tragedi itu. Mereka tidak dapat lari daripada menyalahkan projek tanaman berkenaan ketika diajukan soalan yang berbunyi ‘Pak cik rasa pasai apa jadi teruk sangat banjir ni?’

“Kalau tak dak projek cuci hutan sampai nak kena tebang balak semata-mata nak tanam durian Musang King ni, mai mana kayu-kayu besar dan pokok hutan ini yang telan habis apa di depan dia hari tu,” kata seorang penduduk dalam loghat Baling.

Mereka mendakwa sudah beberapa kali membuat bantahan terhadap projek itu kerana bimbang sesuatu yang buruk boleh berlaku sebelum akhirnya mimpi ngeri itu benar-benar menjadi realiti pada petang 4 Julai 2022.

Kata mereka, bukan kawasan itu tidak pernah dinaiki air jika hujan lebat sebelum projek itu bermula, tetapi kesannya tidaklah seteruk kali ini dengan lumpur tebal yang memenuhi setiap inci rumah penduduk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here