SEORANG warga emas serta seorang guru sekolah persendirian di Georgetown berputih mata apabila masing-masing kerugian RM574,000 dan RM726,500 selepas terpedaya skim pelaburan tidak wujud didalangi seorang wanita yang mengaku dirinya datin.
Pesara jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 76, diperkenalkan wanita dipanggil Datin Neoh itu oleh seorang rakan pada Mei 2019 yang mendakwa dirinya mempunyai projek pelaburan besar di luar negara.
“Datin berkenaan menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh beberapa bulan.
“Setiap hari Datin Neoh memujuknya menyertai skim pelaburan itu selain turut menunjukkan surat kuasa tugas menyatakan kononnya dia akan ke Australia bertemu ‘pengarah projek’ terbabit,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Wisma MCA Pulau Pinang, Georgetown, hari ini, lapor Harian Metro.
Pada pada Jun hingga Ogos 2019 dia beri wang tunai RM98,500 kepadanya secara berperingkat dan kemudian Datin itu menyediakan surat perjanjian dan membawa saya ke pejabat pesuruhjaya sumpah pada 19 Ogos 2019.
“Selepas itu Datin itu pujuk saya mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM220,000 serta membawa barang kemas untuk dipajak di sebuah bank bernilai RM66,100 selain menjual saham berjumlah RM264,416.54.
“Tidak cukup dengan itu saya diperdaya membuat pinjaman bank sebanyak RM13,500 dan semua wang tunai yang dikeluarkan hasil pinjaman itu diserahkan kepadanya,” katanya.
Menurutnya, pada November 2019 Datin terbabit menghantar gambar tiket penerbangan dan mendakwa dia pergi ke New Zealand memeterai perjanjian kontrak dengan beberapa individu penting dan memberi jaminan memperoleh keuntungan pada penghujung tahun.
Malah, warga emas itu pernah menghadiri mesyuarat secara bersemuka lebih 10 kali yang lazimnya berakhir dengan acara minum teh bersama Datin Neoh bersama tujuh hingga lapan orang lagi yang rupa-rupanya turut menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud itu.
Ibu kepada dua anak itu berkata, selain terpengaruh dengan janji manis Datin Neoh yang menunjukkan pelbagai dokumen yang dilihat meyakinkan dia turut memerlukan wang untuk rawatan perubatan mendiang suaminya yang menderita kanser pankreas sebelum akhirnya meninggal dunia pada Ogos 2020.
Sementara itu, Kang, 53, berkata dia turut tertipu dengan individu sama yang menggunakan nama Datin Hennah dan melakukan lebih 70 transaksi pemindahan wang dari Januari 2017 hingga Oktober 2019 dengan jumlah keseluruhan kerugian RM726,500.
“Pada mulanya saya diperkenalkan rakan dengan seorang lelaki yang kononnya tahu selok belok pelaburan dan boleh mengajar saya mengenai bidang tersebut pada tahun 2016.
“Tetapi kira-kira dua minggu kemudian lelaki itu membawa saya berjumpa Datin Hennah. Saya juga dapat tahu anaknya semua kerja bagus dan boleh dipercayai.
“Datin itu beritahu dia ada projek dengan kerajaan China tetapi selepas bagi duit, mereka tidak dapat dihubungi dan semua duit kami lesap begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang, berkata pihaknya bersedia memberi khidmat bantuan perundangan kepada mangsa terbabit.
“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tidak masuk akal dalam masa singkat dan meminta pandangan daripada mereka yang lebih pakar sebelum mengambil keputusan yang merugikan diri sendiri,” katanya.
Leave a Reply