Mukhriz dakwa Ahmad Bashah tukar tanam durian di Gunung Inas

Oleh BADLISHAH MAT

BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mendakwa penanaman durian Musang King di ladang hutan Gunung Inas di Baling, Kedah dibuat ketika pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

BERIKUT KENYATAAN PENUH BELIAU:

SAYA membaca beberapa kenyataan media dan laporan yang telah disiarkan berkenaan punca kejadian kepala air di Kupang, Baling baru-baru ini. Kejadian tersebut telah meragut nyawa tiga orang mangsa.

Saya dan seluruh warga Pejuang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Jentera sukarela Pejuang pantas bergerak untuk membantu mangsa dengan mengedarkan makanan bermasak dan mencuci rumah yang dimasuki selut.

Berkenaan punca kejadian, jelas dari kebanyakan komen bahawa penanaman durian Musang King yang dianggap mengakibatkan bencana. Namun perlu dilihat juga bahawa kawasan Hutan Simpan Kekal di Gunung Inas telah ditukar statusnya kepada ladang pertanian oleh Kerajaan Barisan Nasional pada 2007, dan dijenamakan Ladang Sejahtera oleh Kerajaan PAS pada 2008.

Untuk melaksanakan ladang di atas tanah hutan, tentunya pokok hutan perlu ditebang. Yang ditebang bukan hanya pokok bernilai tinggi, tetapi ditebang bersih atau cuci mangkuk untuk penanaman semula pokok getah klon balak (TLC) atau pokok-pokok hutan yang diluluskan Jabatan Perhutanan.

Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Pas seperti yang diakui oleh Menteri Besar sendiri. Adakah kajian Penilaian Impak Alam Sekitar atau EIA dibuat pada masa tebang bersih itu dilakukan?

Sekitar 2012-2013, saya antara pihak yang membantah projek Ladang Sejahtera di Kedah, bukan kerana pokok yang hendak ditanam, tetapi kerana hutan simpan digondolkan. Juga pengalaman projek Ladang Rakyat di Kelantan oleh Kerajaan Pas di sana menunjukkan bahawa kerja-kerja penanaman semula tidak dilakukan secara serius mengakibatkan banjir di negeri tersebut.

Keputusan untuk menukar dari penanaman TLC kepada durian Musang King dibuat oleh Kerajaan BN dibawah Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah. Anak syarikat Kerajaan Kedah, Kedah Agro Sdn Bhd yang sebelum itu diamanahkan untuk menanam semula kawasan tersebut gagal melaksanakannya.

Aman Mega Sdn Bhd dilantik untuk mengambil alih tanggung jawab itu, tetapi syarikat tersebut dibeli oleh syarikat ECK. Di zaman Ahmad Bashah, ECK dibenarkan menanam durian. Untuk rekod syarikat ECK yang menaja pasukan bolasepak KFA ketika itu, kemudian dianugerah projek mega lapangan terbang antarabangsa KXP oleh Sanusi.

Terkini Sanusi membatalkan anugerah itu kerana akhirnya terbukti ECK tidak mampu melaksanakan projek mega tersebut seperti yang sudah saya tekankan beberapa kali sebelum ini.

Apabila saya kembali sebagai Menteri Besar pada tahun 2018, keputusan dibuat untuk menghadkan penanaman durian kepada hanya 20% kerana kerja penanaman sudah mencapai tahap itu dan Jabatan Alam Sekitar membenarkan peratusan itu untuk tanaman selain TLC dan tujuh spesis pokok hutan yang lain.

Perlu diingatkan sekali lagi bahawa penanaman semula, walaupun melibatkan kerja teres tanah, bukanlah punca hakisan tanah dan banjir. Bencana itu tidak akan berlaku sekiranya hutan simpan tidak disentuh untuk tujuan pembalakan pokok bernilai tinggi dan aktiviti tebang bersih atas alasan Ladang Sejahtera sebelum 2013.

Saya harap tiada siapa lagi yang membuat tuduhan liar terhadap saya dan Kerajaan Negeri yang saya terajui sebanyak dua kali, semata-mata untuk mengaburi mata rakyat daripada kebenaran.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *