Oleh RIZQI ZABIDI
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuktikan bahawa dirinya adalah pemimpin UMNO yang berbeza daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan segera menunaikan janji yang telah dimeterai sebelum ini.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ismail perlu bermuhasabah mengapa perjanjian tersebut tidak dilaksanakan agar beliau tidak dikategorikan sebagai mempunyai acuan yang sama dengan Ahmad Zahid dan Najib.
Menurutnya, sepatutnya segala janji yang dimeterai perlu dilaksanakan serta merta ketika Ismail dikenali sebagai pemimpin bersih, yang memiliki integriti serta berbeza daripada Ahmad Zahid.
“Di sebelah Perikatan Nasional (PN), kita dah laksanakan apa yang dijanjikan dalam dokumen perjanjian sebelum ini tetapi di pihak lain, Ismail Sabri perlu beri justifikasi kenapa perkara dijanjikan tidak dilaksanakan.
“Dalam perjanjian antara kedua-dua pihak, perkara yang dijanjikan bukan hanya jawatan melibatkan parti-parti politik tertentu malah turut melibatkan beberapa lagi perkara lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan ibadah korban di Kampung Machang, Jitra, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menegaskan bahawa perjanjian melantik Timbalan Perdana Menteri sememangnya wujud, malah mempunyai saksi daripada Bersatu serta Pas.
Mengulas lanjut katanya, semua pihak terlibat tahu mengenai perjanjian tersebut yang turut memaktubkan beberapa hal lain.
“Jadi saya rasa persoalan sebenar adalah mengapa perjanjian itu tak dilaksanakan pada masa ia ditandatangani? Setelah ditandatangani pula, berlaku beberapa situasi di mana jawatan dipegang pemimpin dari PN yang tamat atau ditamatkan, tidak diganti dari orang PN juga malah ‘dirompak’ dengan rakusnya oleh UMNO.
“Contohnya ada beberapa anak syarikat di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang mana individu tertentu belum sampai tarikh luput kontrak, tetapi ditamatkan kontraknya dan diganti dengan pemimpin UMNO. Jadi ini jelas melanggar perjanjian tersebut,” katanya.
Dalam pada itu Wan Saiful memaklumkan, beliau sudah tidak lagi memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setelah kontraknya tamat pada 17 Jun lalu.
“Setakat ini saya difahamkan pengerusi baharu belum dilantik. Begitu pun sepanjang empat tahun di PTPTN, saya berbangga dengan usaha dilakukan setelah kita memberi fokus kepada penyelesaian jangka panjang terhadap masalah hutang anak muda.
“Penyelesaian itu adalah dengan cara menggalakkan penabungan. Semasa mula-mula mengambil alih jawatan itu, kutipan deposit tahunan PTPTN cuma RM700 juta tetapi apabila saya tinggalkan empat tahun kemudian, jumlahnya meningkat lebih empat kali ganda kepada RM3 bilion,” katanya.
Leave a Reply