PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, keputusannya untuk bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah disebabkan ‘ramai orang tidak tahu mengurus negara’.
Memetik laporan Astro Awani, bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia mempunyai potensi dan sumber yang banyak tetapi semua itu tidak penting jika pemimpin tidak tahu cara menggunakannya.
“Saya melihat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk negara ini. Bagaimanapun, ramai orang nampaknya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau yang berusia 97 tahun sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk berundur dari pentas politik negara.
Namun, Dr Mahathir kemudian membuat pusingan U dan membatalkan hasrat tersebut apabila menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU-15.
Beliau merupakan Perdana Menteri yang paling lama berkuasa di Malaysia.
Beliau menjadi Perdana Menteri Keempat ketika era Barisan Nasional (BN) mulai 1981 hingga 2003, sebelum kembali semula sebagai Perdana Menteri yang pertama dari Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan mulai Mei 2018.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir memberitahu, beliau kecewa kerana tiada kuasa untuk menangani masalah sosial seperti jurang kekayaan antara penduduk di kampung dan bandar.
Katanya, beliau mempunyai banyak idea bagaimana untuk menambah baik negara, tetapi kecewa kerana beliau tidak lagi berkuasa untuk melaksanakan idea tersebut.
“Masih banyak perkara yang saya mahu lakukan dan saya sangat prihatin dengan masalah sosial. Orang yang tinggal di kampung miskin tetapi yang di bandar agak kaya.
“Saya rasa boleh mencari jalan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk di kampung tetapi untuk itu, saya perlu ada kuasa, jika tidak, saya kecewa,” jelasnya.
Leave a Reply