PEMILIHAN UMNO akan diadakan sebelum hujung tahun ini sekiranya Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan parti itu.
Memetik laporan Harian Metro, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu juga mempunyai Pelan B jika permohonan pindaan yang membolehkan pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kami (ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan buat keputusan jika (pindaan perlembagaan tak diluluskan ROS.
“UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini.
“Apakah Pelan B itu, kena tunggulah nanti. Kita berharap ROS luluskan permohonan itu kerana ia sama dengan apa yang dilakukan MCA dan sudah diluluskan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan daging korban di Benut, Pontian, hari ini.
Mei lalu, UMNO sebulat suara meluluskan Pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya.
Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada ROS pada 17 Mei, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata ROS mempunyai masa sehingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan pindaan itu.
Sebelum itu, UMNO menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu.
Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember tahun ini.
Leave a Reply