KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar kegiatan haram sebuah premis di Taman Bayu Tinggi di Klang, Selangor, yang menyorok minyak diesel bersubsidi selepas lokasi itu diserbu pihak berkuasa Rabu lalu.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya susulan risikan dilakukan anggota Sesyen Risikan KPDNHEP Putrajaya.
“Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati tiada pekerja ditemui dalam premis itu. Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah minyak diesel, lori, beberapa tangki kosong, tangki berisi diesel dan beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak berkenaan.
“Kami menyita diesel dan pelbagai peralatan ditemui di dalam premis dianggarkan bernilai RM170,346 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan termasuk dari mana ia diperolehi dan diedarkan.
“Selain itu, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya.
Leave a Reply