wanita hina Islam komedi

Wanita buat komedi hina Islam mesti bertaubat – Nasrudin

WANITA yang ditahan polis kerana didakwa menghina Islam dalam persembahan komedi sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dinasihatkan supaya bertaubat atas apa yang telah dilakukannya.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan berkata, wanita terbabit juga perlu menginsafi bahawa ia adalah satu kesalahan besar dalam agama.

“Tampil di khalayak dalam keadaan menutup aurat dan membuat pengakuan menghafal al-Quran lalu di saat itu jua, dengan sengaja dan bangga ia meleraikan satu persatu pakaian luarnya sehingga separuh telanjang, adalah satu perbuatan mempersenda dan memperkecilkan Islam.

“Ia bukan sahaja perbuatan yang mencabul harga diri individu yang terlibat, tetapi juga meluruhkan nilai mulia pada agama yang dianut serta mempalit rasa malu kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita Islam yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

Terdahulu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata, suspek itu kini direman tiga hari bermula hari ini.

Nasrudin mengingatkan bahawa agama Islam bukan prop komedian yang boleh dilantun sesuka hati.

“Meskipun mendapat tepukan gemuruh dari audien, tindakan itu tidak boleh dinilai sebagai bahan lawak jenaka melainkan ia suatu perbuatan yang hina dan jijik kerana mempersendakan ajaran wahyu dari Tuhan Yang Maha Mencipta,” jelasnya.

Beliau turut kesal dengan tindakan seorang lelaki yang memuatkan kandungan video memaparkan perbuatan menarik tudung wanita Islam dalam media sosial baru-baru ini.

“Mempertaruhkan maruah seorang muslimah demi meraih rating di media sosial adalah satu tindakan yang keterlaluan dan wajib dihentikan,” tegasnya.

Nasrudin berkata, Islam sebagai satu cara hidup yang mulia dan mendidik penganutnya agar berperilaku sopan dan menjaga sensitiviti beragama.

“Maka tidak sahaja Islam melarang penganutnya menghina agama lain, maka terlebih utama seorang muslim diwajibkan memelihara maruah dan kesucian agama Islam yang dianutinya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, YADIM mengingatkan seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam tindakan dan ucapan agar tidak terjebak dalam situasi yang boleh disifatkan sebagai menghina dan mempersenda agama suci ini.

“Tidak sahaja berdepan dengan kemarahan umat Islam kerana agama mereka diperlekeh, bahkan ia berdepan dengan kemurkaan Allah SWT yang azabnya sangat dahsyat,” katanya.

Nasrudin menyeru umat Islam agar menghayati firman Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 70:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.

وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا

dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah mereka lakukan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan pemberi syafaat selain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka lakukan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *