TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam konteks semasa, ketika negara berhadapan dengan peningkatan kes baharu Covid-19 akhir-akhir ini, setiap daripada kita perlu berkorban dengan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada ketika berada di masjid, surau, ketika melakukan ibadah korban atau menghadiri rumah terbuka.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, dalam fasa pemulihan negara pula, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk saling membantu mereka yang berada dalam kesusahan terutama kumpulan yang terjejas teruk.
”Ibadah korban adalah tanda kita bersyukur atas rezeki yang Allah berikan dan sebagai bukti, kita perlu berkorban dan berkongsi kesyukuran itu dengan mereka yang tidak bernasib baik dan memerlukan. Kita pernah melakukan pengorbanan ini ketika negara teruk dilanda pandemik dua tahun lalu yang mana setiap rakyat saling berganding bahu, bantu membantu mereka yang dalam kesukaran dan kesempitan dan insya-Allah kita boleh melakukannya sekali lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam di seluruh negara esok.
Muhyiddin berkata, selepas solat sunat Aidiladha umat Islam akan melaksanakan ibadah korban yang membawa pengertian sangat besar kepada umat Islam sebagaimana diceritakan dalam al-Quran dan hadis.
”Kisah kesediaan Nabi Ismail AS untuk dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS bagi menuruti perintah Allah adalah satu pengorbanan besar yang menjadi pedoman kepada seluruh umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Beliau juga turut menasihatkan, mereka yang pulang ke kampung halaman meraikan Aidiladha dengan penuh kegembiraan dengan ibu bapa dan sanak saudara manakala yang sedang dalam perjalanan pulang pula, berhati- hati memandu semoga selamat tiba di destinasi masing-masing.
”Saya berdoa agar ibadah korban yang kita lakukan diterima Allah SWT dan kita sentiasa berada dalam rahmat-Nya. Saya juga mendoakan semua jemaah yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci dipermudahkan ibadah mereka, diberi kesihatan dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.
Leave a Reply