Oleh RIZQI ZABIDI
Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan anak buahnya berpangkat sarjan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM8,000.
Sumber memaklumkan, kedua-dua mereka disyaki menerima wang tersebut sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan terhadap individu tertentu atas kesalahan menyimpan rokok seludup.
“SPRM terlebih dulu menahan sarjan tersebut yang berusia 39 tahun di sebuah stesen minyak di Simpang Ampat, Pulau Pinang pada 9.55 malam, semalam.
“Selepas itu, tangkapan dilakukan terhadap ASP tersebut di Pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 3.33 pagi ini,” katanya.
Difahamkan kedua-dua mereka bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Sementara itu di Mahkamah Sungai Petani hari ini, Majistret, B. Sri Pracha Nanthini mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari terhadap kedua-dua tertuduh hingga 9 Julai depan.
Dalam pada itu Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan namun enggan mengulas lanjut.
“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.
Leave a Reply