Shinzo Abe death meninggal dunia

[VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia akibat ditembak

BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan meninggal dunia selepas ditembak semasa menyampaikan ucapan dalam kempen di Nara, Jepun hari ini.

Media Jepun dan antarabangsa sebelum itu melaporkan beliau dalam keadaan kritikal akibat insiden tersebut.

“Menurut pegawai kanan LDP (Parti Demokratik Liberal), bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara, tempat beliau menerima rawatan perubatan.

“Beliau berusia 67 tahun,” kata NHK, memetik laporan BH.

Terdahulu, mendiang dilaporkan mengalami masalah kegagalan jantung dan rakaman video NHK menunjukkan Abe rebah di atas jalan dengan beberapa pengawal keselamatan berlari ke arahnya.

Saksi kejadian mendakwa mereka mendengar bunyi tembakan dalam insiden yang berlaku ketika Abe sedang berdiri ketika berucap untuk kempen pilihan raya Senat Jepun yang berlangsung Ahad ini.

Polis telah menahan seorang lelaki berusia 40-an yang disyaki terlibat dalam cubaan membunuh Abe di lokasi kejadian.

Suspek yang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami dikatakan seorang bekas anggota tentera laut Jepun.

Dia dilaporkan melepaskan dua tembakan terhadap Abe dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan itu.

Suspek lelaki itu dikenali sebagai Tetsuya Yamagami dan dia merupakan bekas anggota Tentera Laut Jepun, lapor agensi berita tempatan Jepun.

Dalam video yang dipaparkan agensi berita Jepun, NHK, sejurus melepaskan tembakan, lelaki berkenaan telah dirempuh dan dijatuhkan ke tanah oleh pihak keselamatan.

Selain itu media tempatan melaporkan, suspek mengakui dia cuba membunuh Abe ekoran rasa ‘tidak puas hati’ terhadap bekas Perdana Menteri Jepun itu.

Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat dengan memegang jawatan itu bermula 2006 sebelum sekali lagi dipilih pada dari 2012 hingga 2020.

Beliau bagaimanapun terpaksa berundur kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan usus.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *