Tukang gunting rambut ditahan cuba culik bekas kekasih, budak lelaki

SEORANG tukang gunting rambut ditahan polis hari ini, selepas dipercayai cuba menculik seorang wanita dan anak lelakinya di hadapan sebuah Tadika, Seksyen U12, Shah Alam, semalam.

Pihak polis menerima laporan daripada suami mangsa berusia 41 tahun pada pukul 6.15 petang, selepas diberitahu oleh guru Tadika berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata,
hasil siasatan, mangsa wanita berusia 33 tahun menjelaskan bahawa suspek menolaknya ke tempat duduk penumpang dan merampas kenderaan mangsa ketika anak lelaki mangsa, 6, memasuki kenderaan.

“Suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan pada pukul 10.10 pagi tadi ketika hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Turut bersama suspek adalah wanita berkenaan dan anak lelakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berit Harian.

Mohd. Iqbal berkata, wanita terbabit dan anaknya tidak dicederakan manakala ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek adalah bekas kekasih mangsa dan motif tindakannya kerana masih sayangkan mangsa.

Katanya, suspek juga dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman esok,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *