Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Sultan Johor dan Sultan Selangor memiliki kekayaan menerusi pelbagai penglibatan dalam aktiviti-aktiviti korporat.
Tunku Ismail berkata, hak milik kekayaan Sultan Johor dan Sultan Selangor itu adalah pelaburan dalam aktiviti korporat dan bukan monopoli beras, monopoli gula, monopoli tepung, lesen import (AP), kuota, kontrak kerajaan, konsesi swasta dan banyak lagi.
“Ini bukan sebagaimana yang dilakukan oleh kroni-kroni kepada mereka yang berkuasa sejak Tun Dr Mahathir Mohamad Mahathir mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri pada 1981 dan selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 1982.
“Mungkin kerajaan ada membayar gaji kepada sepuluh Raja-Raja Melayu. Tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Sultan Johor, sejak 1899
Kesultanan Johor telah mendermakan wang itu kembali kepada rakyat, lama sebelum pembentukan Malaya pada 1948 dan ketika British masih lagi menjajah Kepulauan Melayu,” kata Tunku Ismail dalam Facebook miliknya HRH Crown Prince of Johor, hari ini.


Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim melahirkan kebimbangan sebahagian sultan terlibat aktif dalam perniagaan atau perusahaan komersial sejak akhir-akhir ini yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi atau tuduhan tidak baik terhadap institusi diraja.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, kebenaran atau melarang sultan terlibat dalam perniagaan masih terikat dan tertakluk kepada Perlembagaan negeri atau undang-undang tubuh negeri masing-masing.
“Mungkin juga undang-undang tubuh atau perlembagaan negeri senyap atau membisu dalam bab ini. Ada sembilan negeri di Malaysia yang mempunyai sultan. Perlembagaan negeri masing-masing berbeza-beza,” ujar Hassan.
Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini sudah memperbetulkan penipuan yang didakwa
dilakukan bekas Perdana Menteri sebelum ini.
“Sultan Johor telah memperbetulkan penipuan yang diputarbelitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 30 tahun dahulu, pada awal 1980-an yang mengatakan bahawa 10 Raja-Raja Melayu adalah lintah yang menghisap duit rakyat hingga kering,” ujar Tunku Ismail.
Tunku Ismail berkata, setiap wang yang diterima daripada elaun sultan disalurkan baginda ke tabung bantuan sejak tahun 1899 yang dilakukan Kesultanan Johor.
“Ini dilakukan sejak dari pemerintah kedua, Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1899, telah mendermakan semua elaun peruntukan kerajaan negeri kepada tabung untuk mereka yang memerlukan,” kata Tunku Mahkota Johor.
Menurut Tunku Ismail, satu kenyataan ada dimuat naik Royal Press Office (RPO) dalam Facebook Sultan Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa amalan itu diteruskan hingga zaman Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail apabila semua elaun disalurkan ke Yayasan Sultan Iskandar.
“Ia juga menyatakan bahawa ketika Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang Di-Pertuan Agong kelapan dari 1984-1989, elaun yang diterima baginda dari kerajaan Persekutuan juga telah disalurkan kepada yayasan tersebut.
“Yayasan Sultan Iskandar bukan hanya membantu mereka yang susah, tetapi juga memberikan bantuan ketika bencana alam dan juga memberikan dana untuk pendidikan,” kata Tunku Ismail.
Tunku Mahkota Johor berkata, peruntukan untuk yayasan Yayasan Sultan Ibrahim pula adalah hasil derma daripada elaun yang diterima Sultan Ibrahim.
Leave a Reply