BEBERAPA bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Kuala Lumpur malam tadi reda apabila tidak dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Bagaimanapun mereka tidak berpuas hati dengan sikap agensi yang belum memulangkan pasport mereka.
Abdul Laziz Ghani, 56, berkata, dia dan rakan jemaah berkenaan kecewa menunggu berjam-jam di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA kerana pihak agensi berjanji akan memulangkan pasport.
Katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, mereka berharap dapat menyelesaikan hal berkaitan pasport segera kerana ingin balik ke kampung hari ini.
Wartawan turut menyaksikan ketegangan yang berlaku ketika Abdul Aziz berhubung dengan wakil agensi melalui panggilan telefon.
Sambil ‘mengajar’ wakil agensi itu yang digelar ustaz, Abdul Aziz meminta jasa baik sebagai kawan senegeri supaya membantunya mendapatkan pasport miliknya segera.
Beliau dan isteri Ratna Hussain, 56 adalah antara 380 bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA sejak pagi semalam dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Menurutnya, pasport berkenaan dijanjikan akan diberikan di Balai Polis MTB KLIA, namun selepas menunggu sejak semalam dan hampir seharian hari ini, bayang wakil agensi itu tidak kelihatan.
“Berapa lama saya nak duduk di sini! Saya bukan orang pendatang asing. Ambo (saya) nak balik rayo (raya) Kelate (Kelantan),” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Apa yang lebih dikesalkan, katanya, pemilik agensi pelancongan berkenaan juga sudah tidak menjawab talian telefon.
Dia mendakwa agak rapat dengan wakil agensi pelancongan yang dapat dihubungi itu dan percaya 100 peratus namun apa yang terjadi amat mengecewakan.
“Masuk hari ini sudah enam hari saya tiba dari Kelantan, tunggu dan terus menunggu,” katanya.
Apa pun, katanya, dia reda dengan ketentuan Ilahi, tidak dapat menunaikan haji tahun ini.
Dia dan isteri membayar RM35,000 tunai setiap seorang kepada agensi berkenaan untuk menunaikan haji.
Ujarnya, jemaah dijanjikan penerbangan sejak beberapa hari lalu namun kononnya tangguh dengan pelbagai alasan termasuk didakwa muktamad semalam.
“Pada 2 petang semalam dia (wakil agensi) kata penerbangan batal, saya kata terima kasih, saya reda, saya nak balik kampung.
“Tetapi sampai 12 tengah malam membawa ke 1 pagi hingga sekarang (3.30 petang hari ini) tiada jawapan mengenai pasport,” katanya.
Leave a Reply