TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa wawancara beliau dengan Asia Times yang berpangkalan di Hong Kong baru baru ini mesti dilihat dalam konteks keseluruhan atau ‘in totality’.
Menurut beliau, ia tidak patut dilihat secara ‘piecemeal’ dan terpisah-pisah sehingga ia memberi gambaran yang tidak tepat.
“Sangatlah penting untuk saya menegaskan bahawa konteks keseluruhan temubual tersebut ialah penegasan saya bahawa setiap orang yang dituduh berhak menerima penghakiman yang adil tanpa sebarang konflik kepentingan serta pengampunan di bawah undang-undang Malaysia hanya akan diberi selepas seorang tertuduh telah mula menjalankan hukuman.
“Segala yang di luar konteks tersebut hanya memberi gambaran negatif kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan diri saya serta dijadikan bahan propaganda musuh politik UMNO.
“Saya tidak lagi berhasrat untuk mengulas perkara ini dan keseluruhan fokus saya ialah menyediakan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Pada 5 Julai lalu, wartawan kanan dari United Kingdom (UK), Nicholas Kochan menafikan laporan wawancara bersama Mohamad yang disiarkan dalam portal Asia Times mengandungi kenyataan yang dipetik di luar konteks.
Laporan bertajuk ‘Exclusive: UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail’ (Eksklusif: Pemimpin No 2 UMNO fikir Najib patut masuk penjara itu) disiarkan pada hari yang sama.
“Selepas @asiatimesonline menyiarkan wawancara eksklusif saya dengan Timbalan Presiden UMNO @tokmatn9, beliau mendakwa kenyataannya diambil di luar kandungan, di mana penulis bersama, @nilebowie dan saya dengan tegas menafikannya.
“Rakaman penuh dilampirkan. Kami mempertahankan laporan kami,” katanya dalam ciapan Twitter hari ini.
Rakaman penuh wawancara dalam bahasa Inggeris boleh dicapai melalui pautan dalam ciapan Twitter tersebut.
Terdahulu, memetik laporan FMT, Mohamad menafikan laporan wawancara Asia Times tersebut, sebaliknya beliau berpandangan, Najib patut mendapat perbicaraan yang diadil.
Pada masa ini, bekas Perdana Menteri sedang berdepan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan rayuan atas sabitan kes SRC International.
“Apa yang saya katakan adalah Najib mesti mendapat perbicaraan adil. Sekiranya, beliau didapati bersalah, barulah beliau kena berdepan hukuman, tapi seperti kita tahu, kesnya belum lagi berakhir, sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan. Tapi, beliau mesti mendapat perbicaraan adil,” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat kepada FMT.
Sementara itu, Astro Awani yang memetik Asia Times melaporkan, Mohamad berkata, Pengampunan Diraja sebelum seseorang individu yang didapati bersalah di Mahkamah, menjalani hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, adalah sesuatu yang salah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, banyak kes melibatkan pemimpin kanan UMNO sebelum ini menyaksikan mereka menjalani hukuman sebelum diberikan pengampunan dan dibebaskan.
Mohamad berkata, Najib perlu melalui proses untuk mendapatkan pengampunan, seperti mana yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris, dan bekas ADUN Gemencheh, Allahyarham Datuk Mokhtar Hashim.
“Dia tidak boleh diampunkan selagi belum melalui proses. Itu adalah salah, sangat salah. Kebanyakan pemimpin UMNO yang terkenal, Menteri Besar Selangor Harun Idris, dia kena jalani hukuman. Mokhtar Hashim, kena jalani hukuman.
“Semua orang (yang bersalah) perlu jalani hukuman sebelum mendapat pengampunan. Ia adalah semudah itu, tiada cara lain,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia kini merupakan sebuah negara yang sedang bergelut, dan dipimpin oleh ‘kerajaan pintu belakang’.
Katanya lagi, beliau menganggap masalah yang melingkari negara masa kini berakar dari kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memberi penerangan yang telus tentang skandal kewangan 1MDB.
Selain itu, Mohamad turut berkata, Najib juga tidak boleh berharap terhadap layanan istimewa dari kerajaan yang dipimpin UMNO dan BN sekiranya Ahli Parlimen Pekan itu dipenjarakan berhubung kes rasuah.
“Mahkamah adalah satu-satunya tempat untuk anda membuktikan anda tidak bersalah atau sebaliknya. Dia (Najib) tidak membuktikannya, dan dia tidak mampu membuktikannya. Jadi semua orang perlu membayarnya.”
“Jika mahukan pengampunan, dia perlu melalui proses. Dia perlu masuk ke dalam (penjara) terlebih dahulu,” tambah Mohamad.
Leave a Reply