APAKAH kerajaan UMNO Melaka sedang bergolak sekali lagi dan mungkin menyebabkan berlaku pertukaran Ketua Menteri?
Spekulasi itu timbul ekoran timbul desas-desus kononnya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mungkin berdepan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang mulai 25 Julai ini.
FMT yang memetik Sin Chew Daily melaporkan, sumber mendakwa, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhasrat mengambil alih jawatan itu daripada Sulaiman.
Menurut laporan, beliau dikatakan mendekati beberapa wakil rakyat kerajaan untuk meraih sokongan bagi mengusulkan undi tidak percaya.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara sudah beberapa kali menafikan pembabitannya dalam spekulasi merampas jawatan Ketua Menteri Melaka yang beberapa kali timbul sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu.
Pada 21 Mei lalu, Sulaiman menafikan sudah melepaskan jawatannya selepas seorang ketua bahagian Umno mendakwa ADUN Lendu itu dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan.
Sulaiman berkata, dakwaan itu tidak benar dan berniat mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri pimpinannya sejak Barisan Nasional (BN) memenangi PRN pada November 2021.
Sulaiman pernah dilantik sebagai Exco ketika BN menerajui kerajaan negeri Melaka dari 2013 hingga 2018 dan menjadi Ketua Menteri pada Mac 2020, sebagai ketua kerajaan UMNO-PN yang dibentuk selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Majlis mengangkat sumpah beliau sebagai Ketua Menteri Melaka diadakan pada awal pagi selepas BN memenangi PRN Melaka.
Tindakan itu dikatakan diambil bagi mengelakkan berlaku ‘episod rampasan kuasa’ pada minit terakhir.
Pada hari yang sama, Ab Rauf dalam sidang media menyatakan beliau menyokong kepimpinan Sulaiman.
Leave a Reply