kepala air baling

802 rumah terjejas akibat banjir, kepala air di Baling

Oleh RIZQI ZABIDI

TRAGEDI kepala air dan banjir yang melanda 12 kampung di Baling, Kedah Isnin lalu menyebabkan lebih 800 rumah terjejas.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, daripada jumlah itu sebanyak 15 rumah dilaporkan musnah sepenuhnya dan tidak lagi boleh didiami.

Selain itu katanya, terdapat 18 rumah yang rosak teruk dan dilaporkan memerlukan pembaikan besar.

“Secara keseluruhannnya setakat ini dilaporkan sebanyak 802 rumah yang terjejas. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bersama penghulu serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ketika masih melakukan pemeriksaan lebih lengkap.

“Setelah segalanya selesai, jumlah rumah yang terkesan akibat banjir itu akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri akan membantu memindahkan mangsa yang tinggal di kawasan berisiko manakala rumah-rumah yang boleh dibaiki, akan dibantu untuk dibaiki.

Sebelum ini kerajaan negeri telah pun memberi komitmen untuk menyewa sementara rumah untuk keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu di laman Facebooknya, Muhammad Sanusi turut berkongsi peta memaparkan kawasan lapang seluas kira-kira satu hektar di Kampung Lembaga Pembangunan Wilayah Kedah (KEDA) Sadik, yang dijadikan tapak cadangan untuk penempatan mangsa bencana tersebut.

Menurutnya, perbincangan mengenai perkara itu sedang dibincangkan dengan pihak pengurusan KEDA.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *