muhyiddin subramaniam

Muhyiddin ucap takziah pemergian Subramaniam

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga bekas Timbalan Presiden MIC, mendiang Tan Sri S Subramaniam yang meninggal dunia semalam.

Hari ini, beliau dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menziarahi jenazah mendiang Subramaniam di rumahnya di Petaling Jaya.

Ahli Parlimen Pagoh itu dukacita apabila mendengar berita mendiang meninggal dunia kerana secara peribadi mengenali beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Damansara dari tahun 1974 hingga 1982 dan Ahli Parlimen Segamat dari tahun 1982 hingga 2004.

“Kami juga pernah bertugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mana saya menjadi Menteri pada 1999 hingga 2004 dan mendiang adalah Timbalan Menteri dari tahun 1995 hingga 2004.

“Semasa hayatnya mendiang banyak menyumbang jasa dan bakti dan pemergian beliau satu kehilangan kepada masyarakat India, parti MIC dan negara.

“Saya doakan semoga ahli keluarga mendiang tabah dan bersabar menghadapi saat mendukacitakan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, mendiang Subramaniam yang meninggal dunia pada Selasa, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park, Shah Alam hari ini.

Mendiang yang diserang strok pada 2011 dan terlantar sejak itu meninggal dunia dalam tidur, kira-kira 8 malam di kediamannya di Petaling Jaya, dekat sini pada usia 78 tahun.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk mendiang pada hari ini adalah Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia dan beberapa pemimpin kanan parti tersebut.

Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Tina Subramaniam, 70, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Subramaniam pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Damansara dan Segamat antara tahun 1974 hingga 2004 selain, mendiang juga pernah memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam arena politik, Subramaniam mula menjadi ahli MIC pada tahun 1962 dan pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung, naib presiden dan timbalan presiden.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *