asia times tok mat wawancara

Wartawan Asia Times pertahan laporan, nafi petik kenyataan Tok Mat di luar konteks

WARTAWAN kanan dari United Kingdom (UK), Nicholas Kochan menafikan laporan wawancara bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang disiarkan dalam portal Asia Times mengandungi kenyataan yang dipetik di luar konteks.

Laporan bertajuk ‘Exclusive: UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail’ (Eksklusif: Pemimpin No 2 UMNO fikir Najib patut masuk penjara itu) disiarkan hari ini.

“Selepas @asiatimesonline menyiarkan wawancara eksklusif saya dengan Timbalan Presiden UMNO @tokmatn9, beliau mendakwa kenyataannya diambil di luar kandungan, di mana penulis bersama, @nilebowie dan saya dengan tegas menafikannya.

“Rakaman penuh dilampirkan. Kami mempertahankan laporan kami,” katanya dalam ciapan Twitter hari ini.

Rakaman penuh wawancara dalam bahasa Inggeris boleh dicapai melalui pautan dalam ciapan Twitter tersebut.

Terdahulu, memetik laporan FMT, Mohamad menafikan laporan Asia Times tersebut, sebaliknya beliau berpandangan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak patut mendapat perbicaraan yang diadil.

Pada masa ini, Najib sedang berdepan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan rayuan atas sabitan kes SRC International.

“Apa yang saya katakan adalah Najib mesti mendapat perbicaraan adil. Sekiranya, beliau didapati bersalah, barulah beliau kena berdepan hukuman, tapi seperti kita tahu, kesnya belum lagi berakhir, sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan. Tapi, beliau mesti mendapat perbicaraan adil,” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat kepada FMT.

Sementara itu, Astro Awani yang memetik Asia Times melaporkan, Mohamad berkata, Pengampunan DiRaja sebelum seseorang individu yang didapati bersalah di Mahkamah, menjalani hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, adalah sesuatu yang salah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, banyak kes melibatkan pemimpin kanan UMNO sebelum ini menyaksikan mereka menjalani hukuman sebelum diberikan pengampunan dan dibebaskan.

Mohamad berkata, Najib perlu melalui proses untuk mendapatkan pengampunan, seperti mana yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris, dan bekas ADUN Gemencheh, Allahyarham Datuk Mokhtar Hashim.

“Dia tidak boleh diampunkan selagi belum melalui proses. Itu adalah salah, sangat salah. Kebanyakan pemimpin UMNO yang terkenal, Menteri Besar Selangor Harun Idris, dia kena jalani hukuman. Mokhtar Hashim, kena jalani hukuman.

“Semua orang (yang bersalah) perlu jalani hukuman sebelum mendapat pengampunan. Ia adalah semudah itu, tiada cara lain,” katanya.

Mohamad berkata, Malaysia kini merupakan sebuah negara yang sedang bergelut, dan dipimpin oleh ‘kerajaan pintu belakang’.

Katanya lagi, beliau menganggap masalah yang melingkari negara masa kini berakar dari kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memberi penerangan yang telus tentang skandal kewangan 1MDB.

Selain itu, Mohamad turut berkata, Najib juga tidak boleh berharap terhadap layanan istimewa dari kerajaan yang dipimpin UMNO dan BN sekiranya Ahli Parlimen Pekan itu dipenjarakan berhubung kes rasuah.

“Mahkamah adalah satu-satunya tempat untuk anda membuktikan anda tidak bersalah atau sebaliknya. Dia (Najib) tidak membuktikannya, dan dia tidak mampu membuktikannya. Jadi semua orang perlu membayarnya.”

“Jika mahukan pengampunan, dia perlu melalui proses. Dia perlu masuk ke dalam (penjara) terlebih dahulu,” tambah Mohamad.

(Pautan untuk rakaman penuh wawancara MEGA)

Exclusive: UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail – Asia Times

Tok Mat nafi kata Najib patut masuk penjara | Free Malaysia Today (FMT)

‘Jika Najib mahukan pengampunan, ikut proses’ – Tok Mat | Astro Awani


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *