Oleh RIZQI ZABIDI
TIADA pengesahan sama ada projek ladang durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca fenomena banjir dan kepala air yang melanda Baling petang semalam.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan penduduk tentang kemungkinan itu.
“Perkara itu belum dapat disahkan dan perlu perincian lanjut tetapi janganlah longgok kat dia (pengusaha) semua, kesian dia juga. Saya bukan kesian apa tetapi kalau kita tak dapat sahkan secara saintifik serta bukti nyata dan tiba-tiba buat kenyataan begitu, tak adillah.
“Pada 2020 saya dah arahkan untuk pengusaha segera tanam tanaman tutup bumi di kawasan yang telah digondolkan dan saya dapati ada tanaman tersebut ditanam di situ. Mungkin tutup bumi itu tak mampu serap aliran air yang banyak, maka berlakulah apa yang telah berlaku dan kita akan tengok perkara itu kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan bencana itu di Tabika Kemas Kampung Bendang Bechah yang dijadikan sebagai pusat media bencana dekat Baling, hari ini.
Menurut Muhammad Sanusi, secara keseluruhannya terdapat 12 kampung terjejas akibat kejadian itu melibatkan 627 mangsa dan tiga kematian.
Sementara itu katanya, kejadian tersebut dilihat menyamai fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai tahun lalu.
Katanya, beliau telah melihat gambar yang diambil dari udara menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan mendapati penampan dibina penduduk untuk menakung air masyarakat di gunung itu tidak musnah dan hanya dipenuhi timbunan pasir.
“Penampan air digunakan pengusaha tanaman durian juga tidak pecah. Itu bermaksud aliran air yang membentuk kepala air semalam merupakan air yang terkumpul di alur-alur sepanjang Gunung Inas sebelum secara serentak mengalir ke bawah.
“Air itu terlebih dulu disekat reba kayu sebelum mengalir serentak ke bawah. Itulah yang membentuk kepala air dan fenomena ini menyamai kejadian yang berlaku di Gunung Jerai, tahun lalu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, penilaian dilakukan jabatan berkaitan menetapkan bahawa kejadian itu masih belum sampai ke tahap yang melayakkan kawasan terlibat diisytiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana.
Muhammad Sanusi turut memaklumkan, kerajaan negeri Kedah akan membantu menyediakan penempatan sementara buat kesemua sembilan keluarga yang kehilangan rumah masing-masing akibat dihanyutkan kepala air serta banjir.
Menurut beliau, kerajaan negeri Kedah dalam masa sama akan mengusahakan rumah ganti kepada mereka yang kehilangan rumah itu.
“Kita akan sewa beberapa rumah untuk mereka duduki secara sementara. Dalam masa sama, kerajaan negeri akan usahakan rumah ganti jika mereka mempunyai tapak baharu lebih selamat.
“Kalau tiada tapak lain, mereka kena tunggu sebab kita bimbang untuk bangunkan tapak rumah baharu di tapak asal. Sungai yang dulunya dalam kini berubah cetek akibat kejadian semalam dan disebabkan itu, kita bimbang akan berlaku limpahan lebih banyak sekiranya kejadian sama berulang pada masa akan datang,” katanya.
Leave a Reply