Lelaki cuba terjun jambatan Sultan Mahmud positif dadah

SEORANG lelaki yang cuba terjun dari jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu petang semalam didapati positif dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berdasarkan siasatan polis, lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai mengalami tekanan perasaan disebabkan masalah peribadi.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

Abdul Rahim berkata, semasa hari kejadian, pihak polis telah menerima panggilan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sekitar pukul 5.45 petang.

“Sejurus pihak polis tiba di lokasi kejadian, orang awam telah berjaya memujuk dan menghalang lelaki itu daripada terjun serta telah menyerahkan kepada pihak polis.

“Lelaki itu juga telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, sebuah video berdurasi 15 saat tular di media sosial sejak malam Isnin memaparkan seorang lelaki berdiri di luar penghadang Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *