Pengerusi Suhakam perlu utamakan isu kematian dalam tahanan – CENTHRA

PENGERUSI Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang baharu, Datuk Rahmat Mohamad perlu meletakkan isu kematian dalam tahanan polis sebagai keutamaan beliau, kata Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd. Amin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azril berkata, sebagai seorang yang berpengetahuan luas dan dihormati dalam sektor perundangan, pelantikan Rahmat adalah bertepatan dalam usaha merungkai beberapa isu berkaitan hak asasi manusia di negara ini.

Tambahnya, CENTHRA berpuas hati melihat arah tujuan Suhakam selepas mengambil seorang bekas Timbalan Naib Cancelor Universiti Teknologi Mara, serta Dekan di Fakulti Undang-undang universiti tersebut.

“Sebagai individu yang mempunyai latar belakang dan pengetahuan, Rahmat mempunyai pemahaman tentang masyarakat, budaya, serta perundangan di negara ini.

“CENTHRA telah sekian lama menyokong rangka kerja berkaitan hak asasi manusia yang tulen, berpandukan kepercayaan, tradisi dan sejarah kita yang kurang bergantung kepada konsep barat,” katanya lapor Astro Awani.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Julai lepas mengumumkan pelantikan pelantikan Rahmat bersama tujuh lagi anggota baharu Suhakam bagi sesi 2022-2025 yang berkuat kuasa pada 22 Jun lepas.

Dalam satu kenyataan rasmi, beliau berkata, pelantikan tersebut telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut dilantik ialah turut dilantik Pensyarah Undang-undang UKM Profesor Datuk Noor Aziah Mohd. Awal; Bekas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Dr. Chew Chee Ming (Sarawak); bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah), Timbalan Ketua UMNO Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican; Ketua Wanita UMNO Kulim-Bandar Baharu, Nazira Abdul Rahim; dan bekas Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath.

Mengulas lebih lanjut, Azril berkata, Suhakam sedang menghadapi pelbagai isu yang mendesak, namun telah diketepikan, kerana terlalu menekankan kepentingan isu yang dianggap penting oleh komuniti hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

“Keutamaan terbesar setakat ini adalah untuk menangani isu kematian dalam tahanan polis, yang perlu dianggap sebagai memalukan.

“Tiada negara boleh bertolak ansur dengan situasi di mana penahanan untuk sebarang jenayah, boleh mengakibatkan suspek yang belum dibicarakan kehilangan nyawa. Suhakam mesti segera mengarahkan perhatiannya ke arah memastikan trend ngeri ini berakhir,” katanya.

Selain itu Azril berkata, Suhakam perlu dengan segera menghasilkan pelan untuk memastikan akses pendidikan terhadap kanak-kanak imigran, serta yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

“Kami berharap hala tuju baharu Suhakam, penjajaran semula dengan nilai dan budaya asli Malaysia dan rantau ini, akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat dengan organisasi rakan sejawatannya di seluruh Asean dan Pertubuhan Komuniti Islam (OIC).

“Membangunkan pendekatan serantau yang bersatu terhadap hak asasi manusia, bergerak sekali dengan dengan dunia Islam yang lebih luas, merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk kedaulatan budaya dan kesejahteraan negara kita,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *