Mohd Amar dakwa Nur Jazlan ada gangguan psikologi

NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyifatkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai mengalami gangguan psikologi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu merujuk kepada kenyataan NUr Jazlan yang mendakwa menteri dari Pas sebagai gagal memikul tanggungjawab dalam kerajaan.

Mohd. Amar turut menempelak kenyataan Nur Jazlan itu yang melabel menteri dari Pas sebagai ‘cap ayam’.

“Saya rasa Nur Jazlan ini ada masalah, ada masalah psikologi, sebab menteri kita ada tiga orang sahaja. Kenapa difokuskan kepada menteri Pas?

“Dan menteri Pas pegang jawatan macam alam sekitar, air, bukan benda besar dalam kerajaan. Dia (UMNO) ada lebih besar lagi, macam ekonomi, perdagangan, itu yang jadi fokus.

“Kemudian dia kata ‘cap ayam’, ukuran apa yang dia pakai? Kalau kita kata, dia tanding pilihan raya pun tak menang, itu cap apa?

“Dia kalah pilihan raya, cap apa itu? Lebih daripada ayam lagi,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

Mohd. Amar berkata, ketiga-tiga menteri dari Pas menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam kerajaan walaupun kali pertama berada dalam kerajaan Persekutuan.

Beliau memberi contoh, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berlatarbelakangkan agama namun dilantik mengepalai kementerian yang lain dari bidang pengajianya.

Bagaimanapun, katanya, Tuan Ibrahim berjaya membuktikan keupayaan dan menunjukkan rekod cemerlang sepanjang menjadi menteri tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *