KPDNHEP bongkar kegiatan dua premis jualan minyak masak dalam talian

KEGIATAN dua premis di Petaling Jaya dan Puchong menjalankan aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal terbongkar apabila diserbu Jumaat lalu.

Serbuan tersebut dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada pukul 12 tengah hari membabitkan seramai tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor, dibuat hasil aduan orang awam.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, premis yang diserbu di Petaling Jaya adalah sebuah kediaman yang disewa dan dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang runcit secara dalam talian.

“Premis yang diserbu di Puchong membabitkan rumah kedai yang dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang runcit yang dijual\secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman memaklumkan pemeriksaan terhadap premis di Petaling Jaya itu, pihak berkuasa menemukan 255 kilogram (kg) minyak masak paket sekilogram bersubsidi bersama beberapa jenis barangan runcit lain sebelum dijual/diedar kepada pelanggan secara dalam talian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati hanya barang kawalan minyak masak paket sekilogram sahaja ditemukan dan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada Pengawal Bekalan untuk berurusniaga barang kawalan berjadual itu.

“Hasil maklumat, minyak masak paket itu dijual pada harga RM 2.50 sekilogram,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Tindakan ke atas premis terbabit diambil mengikut Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual barang kawalan tanpa lesen dan Subperaturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974, berurusan secara borong dan runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4 Akta yang sama.

Melalui serbuan itu seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pembantu dan pekerja premis terbabit telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Sejumlah 255 kg minyak masak paket sekilogram disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM637.50.

Azman memaklumkan serbuan di Puchong, pasukan penguat kuasa menemukan sejumlah minyak masak kemasan botol sekilogram, 2kg dan 3kg dalam premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak premis mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempohnya namun alamat didaftarkan dalam lesen itu berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang kawalan terbabit.

“Seorang wanita warga tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis berkenaan direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan,” katanya.

Sejumlah 27 unit minyak masak kemasan botol 1kg, 2kg dan 3kg disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM858.

Azman berkata, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut terhadap kedua-dua kes berkenaan akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit termasuklah maklumat bekalan minyak masak itu diperoleh.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 3 juta.

“Selain itu, syarikat juga boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak masak,” katanya.

Beliau menegaskan jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Azman turut memberi amaran keras kepada semua peniaga yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi, terutamanya minyak masak supaya sentiasa mematuhi undang-undang dikuatkuasakan.

“Kementerian tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit penyelewengan barang kawalan seumpama ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *