ISU kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tidak dibendung boleh menjadi ‘bom jangka’ yang dibimbangi akan menganggu prestasi mahasiswa.
Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Aliff Naif berkata, hal itu tidak mustahil jika mahasiswa terus terbeban dengan tekanan kenaikan kos sara hidup.
“Isunya sekarang, macam mana cara golongan yang susah ini menampung kos keperluan harian mereka dalam keadaan situasi harga barang naik.
“Sejauh mana kebenarannya? Adakah sampai ada pelajar yang terpaksa ikat perut, itu saya memang tidak tolak ada kemungkinannya,” kata seperti dilaporkan FMT.
Setiausaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Ooi Guo Shen tidak menafikan ada pelajar yang mengadu mula tertekan dengan kenaikan harga barang.
Menerusi luahan di laman sosial kumpulan pelajar, katanya, ada di antara mereka yang bimbang menempuh semesta baharu kerana perlu memikirkan yuran pengajian dan kos keperluan harian.
“Risau nak naik semester baharu nanti. Sekarang hujung-hujung semester ini pun tengah berkira duit makan dan yuran.
“Lapar, nak minta duit dekat orang tua, duit pun cukup-cukup makan saja. Setiap malam lapar, tapi tahan diri, dapat makan nasi boleh menitis air mata, rindu rumah,” demikian antara luahan yang dikongsikan pelajar dalam media sosial.
Seorang pelajar universiti awam yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Fazlina, 21, berkata, masalah kenaikan harga barang cukup membebankan, khasnya buat pelajar seperti dirinya yang bukan datang dari keluarga senang.
Pelajar tahun tiga jurusan sains kemanusiaan itu berkata, dia terpaksa berjimat cermat dan membuat kerja sambilan kerana wang pinjaman yang diterima tidak mencukupi serta perlu membantu menambah pendapatan keluarga di kampung.
“Rasa terbeban juga sekarang dengan harga makanan makin mahal, jadi walaupun sibuk dengan kuliah, cari masa juga buat kerja sambilan sebab mak ayah saya pun pendapatan tak tentu, ada duit lebih bolehlah tolong mereka.
“Ada masa sedih juga, bila mak telefon tanya ada duit tak, walaupun memang tengah susah, tapi cakap saja ada duit sebab tak sampai hati nak minta,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 20 kumpulan pelajar memberi amaran akan turun ke jalanan untuk mengadakan protes, jika kerajaan gagal menangani kenaikan kos sara hidup.
Kumpulan itu menyenaraikan lima tuntutan kepada kerajaan, termasuk memotong gaji menteri dan timbalannya serta menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat.
Tuntutan lain termasuk pemberian subsidi berterusan, kawalan harga makanan yang dijual di universiti dan penyelesaian kepada masalah jaminan makanan negara.
Seorang lagi pelajar universiti awam di Perak, Hamizan Abdul mengakui ada ketikanya dia terpaksa bercatu makan sekali sehari kerana perlu berjimat cermat.
Luahnya, dia yang tinggal di luar kampus ada kalanya merasa terbeban dengan kos sewa rumah, termasuk utiliti yang perlu dibayar setiap bulan.
“Bila duduk luar cukup bulan kena fikir nak bayar sewa rumah, bil api, air dan wifi. Duit untuk makan kadang-kadang habis dekat situ saja.
“Sebab tu kadangkala kena ikat perut, makan sekali saja sehari sebab nak jimat,” kata pelajar tahun tiga jurusan ekonomi itu.
Leave a Reply