SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu, terutama pemimpin politik Melayu.
Sultan Selangor dalam satu kenyataan bertitah, perbalahan dalam kalangan pemimpin politik Melayu yang dilihat begitu ketara ketika ini boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara ini.
“Sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya rakyat tidak bersatu-padu dan bekerjasama di dalam mempertahankannya.
“Beta melihat perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang begitu ketara sekarang boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara kita.
“Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara.
“Walau bagaimanapun, beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan. Ianya adalah bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah hari ini, lapor Astro Awani.
Sultan Sharafuddin bertitah lagi, pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.
Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, baginda bertitah, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu.
Situasi itu sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu, ujar baginda.
“Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum,” titah Sultan Sharafuddin.
Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin bertitah baginda menyedari gejala fitnah-memfitnah berlaku dengan berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Penyebaran berita-berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya dan budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah mengugat keharmonian masyarakat di negara, tambah baginda.
“Oleh itu, beta mengajak semua pemimpin politik dan rakyat di negara ini kepada kebaikan dan mengamalkan budaya sihat yang berpandukan kepada sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran negara.
“Beta menyeru agar kita bersama-sama membangunkan sebuah masyarakat yang gagah, bebas dari rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat,” titah Sultan Sharafuddin.
Terdahulu, baginda berkenan menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang antaranya dibintangi oleh Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan serta Johan As’ari.
Filem Mat Kilau, titah baginda, memaparkan bagaimana perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai bangsa itu.
Baginda turut menggalakkan masyarakat negara ini terutama orang Melayu untuk menonton filem tersebut untuk dijadikan teladan dan pengajaran.
Leave a Reply