Oleh MOHD LAZIM ENDUT
DIA amat kecewa apabila tidak dapat bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pada 19 Mei 2018 kerana berhadapan masalah kewangan.
Pada masa sama, tahap kesihatannya juga semakin menurun, tetapi masih menyimpan impian untuk kembali bertanding bagi memeriahkan persada politik tanah air dalam PRU-15 sekiranya umurnya masih panjang.
Namun, impian itu tidak kesampaian apabila Maimunah Yusof, 103 atau dikenali sebagai Tok Mun telah meninggal dunia dan kembali kepada penciptaNya petang semalam.
“Tok memang kecewa sebab tak boleh bertanding kerana takdok pitih (tak ade duit), tapi sekarang Tok dah mula kumpul pitih untuk persediaan pilihan raya akan datang.
“Itu pun kalau diizinkan Tuhan dan kesihatan Tok baik,” cerita warga emas yang juga bekas calon Bebas pada PRU-12 (2008) dan PRU-13 (2013) itu kepada media, empat tahun lalu.

Pada PRU-12, Tok Mun yang menentang Mohamad Sabu (Pas) dan Datuk Razali Ismail calon Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi P36 Kuala Terengganu berjaya mrncatat sejarah sebagai calon wanita tertua yang bertanding dalam pilihan raya.
Ketika itu, Tok Mun hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat 685 undi, namun tetap tidak serik untuk terus berbuat demikian dan dia sekali lagi ‘memperjudikan’ nasib bertanding di kerusi sama pada PRU-13.
Bagaimanapun, Tok Mun yang berkempen sendirian tanpa jentera parti sekali lagi hilang wang pertaruhan apabila sekadar meraih sebanyak 182 undi sahaja manakala kerusi Parlimen ketika itu dimenangi calon Pas, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kini memimpin Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu.
“Masa Tok bertanding dulu, takdok (tak ada) orang beri duit pada Tok, Tok guna duit simpanan Tok sendiri untuk berkempen dan bayar deposit sebanyak RM10,000,” ujarnya.
Malah, Tok Mun yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di samping menjual keropok keping bagi menampung kehidupan ketika ditanya pemberita di rumahnya di Kampung Atas Tol Kuala Terengganu dua tahun lalu membayangkan hasratnya untuk bertading dalam PRU-15 berkata, hasratnya untuk menjadi wakil rakyat masih ada.
“Tengoklah apa yang akan berlaku nanti,” katanya.
Bagaimanapun impian tersebut tidak kesampaian apabila petang semalam Tok Mun dilaporkan telah
meninggal dunia di rumahnya Kampung Sungai Atas Tol, Kuala Terengganu pada pukul 3.30 petang kerana sakit tua.
Jenazah calon wanita tertua pada PRU12 itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol Kuala Terengganu pada pukul 10.45 pagi ini selepas disolatkan di Masjid Kampung Atas Tol.
Leave a Reply