Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
KECUALI mati, setiap penyakit yang dihidapi oleh manusia pasti ada penawar untuk menyembuhkannya.
Paling berkesan apabila kita mengetahui punca kepada setiap penyakit itu supaya dapat bertindak lebih awal.
Bagi yang menghidap penyakit kencing manis misalnya, antara punca yang mudah untuk difahami ialah pengambilan makanan dan air yang tinggi kandungan gula.
Maka, untuk melakukan pencegahan lebih awal, kita sepatutnya mengawal pemakanan supaya penyakit tersebut tidak berterusan dan semakin kronik.
Begitu juga dengan pengurusan kewangan diri masing-masing, jika perbelanjaan melebihi pendapatan, maka punca kepada keadaan yang berlaku itu harus diteliti. Perlu dilihat sama ada seseorang itu mempunyai jumlah hutang yang terlalu banyak atau gaya hidup mewah luar kemampuan yang menyebabkan perbelanjaan meningkat.
Setiap perkara yang berlaku harus dilihat punca dan impak kesudahannya. Begitulah yang berlaku apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. Tragedi pada tahun 2018 itu menyaksikan UMNO/BN selaku kerajaan paling lama memerintahkan ditumbangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Mengimbas kembali apa yang berlaku, UMNO/BN tewas bukan kerana PH kuat tetapi kerana sentimen penolakan dan kebencian rakyat cukup kuat pada waktu itu. Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada parti pemerintah gara-gara skandal melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan kes 1MDB.
Antara sebab lain ialah rakyat tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan yang melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
BN pada waktu itu sudah menyedari sentimen penolakan terhadap parti mereka berdasarkan luahan rakyat di media sosial serta sambutan rakyat dalam program bersemuka. Tetapi UMNO dan BN mengabaikan apa yang diperkatakan dan tidak mempedulikan desakan rakyat supaya Najib mengundurkan diri.
Natijahnya, tercatat dalam lipatan sejarah kerajaan UMNO/BN mengalami kekalahan yang cukup besar. Dan sehingga kini, parti tersebut tidak pernah mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Mereka hanya insaf seketika sewaktu awal-awal mengalami kekalahan dan kini kembali kepada perangai lama mereka.
Desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur tidak dilayan dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih berasakan dirinya mendapat sokongan ramai. Dengan jumlah pertuduhan yang dihadapinya dan pelbagai fakta semasa pendakwaan, ia sebenarnya lebih daripada mencukupi untuk memberikan justifikasi supaya Zahid perlu berehat.
UMNO masih berpegang kepada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebagai penanda aras bahawa mereka disokong oleh rakyat sedangkan ia bukan indikator sebenar. Pengundi atas pagar dan golongan pengundi muda belum menunjukkan kuasa sebenar dan dua PRN bukan medan sebenar untuk menentukan parti yang mendapat sokongan rakyat.
Memburukkan keadaan ketika ini, pengundi tegar UMNO pula sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Zahid susulan pendedahan yang dibuat bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Menurut Tajuddin dalam sidang media yang sarat dengan pendedahan itu, Zahid dikatakan mengetuai gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) untuk melantik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
Adalah amat memalukan sebagai seorang Presiden UMNO, cakap berdegar-degar depan ahli ‘No Anwar, No DAP’ tetapi di belakangnya menyokong Anwar sebagai PM.
Maka, bagi mengelakkan UMNO terus-menerus ditolak rakyat disebabkan tindakan segelintir pemimpin yang bermasalah, pemimpin lain dalam parti itu yang terbukti bersih daripada sebarang skandal perlu melakukan sesuatu supaya tragedi UMNO/BN ditolak rakyat tidak terus berulang.
Ambil pengajaran daripada apa yang berlaku kerana puncanya sudah diketahui, cuma belum ada tindakan yang konkrit sahaja.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.
Leave a Reply