KEKALUTAN yang tercetus semasa pemilihan PKR 2022 baru-baru ini masih belum reda.
Kali ini, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak berpuas hati kerana audit forensik tidak dilakukan terhadap pengundian dalam talian.
Memetik laporan Malaysiakini, beliau yang tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Gombak mempersoalkan perkara itu.
Farhash mahu Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR melakukan audit forensik terhadap pengundian secara fizikal dan dalam talian.
“Mengapa hanya dilakukan terhadap pengundian secara fizikal sahaja, bukan dalam talian?
“Apakah kepastian tidak ada kepincangan dalam pengundian dalam talian. JPP harus jawab,” katanya kepada Malaysiakini sebagai mengulas keputusan JPP membuat audit forensik terhadap pengundian secara fizikal.
Farhash yang tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Gombak turut bertanding untuk jawatan Naib Presiden PKR.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa audit forensik mendapati berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti itu yang diadakan pada Mei lalu.
Perkara itu disahkan oleh pelbagai sumber dalam parti kepada Malaysiakini baru-baru ini.
Untuk rekod, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebelum ini bersetuju dengan cadangan JPP parti itu mengenai keperluan melakukan audit forensik ke atas keputusan tidak rasmi pemilihan parti.
Pemilihan PKR kali ini diadakan secara campuran iaitu gabungan dalam talian dan pengundian secara fizikal.
JPP PKR menerima lebih 1,800 aduan ekoran pengumuman keputusan tidak rasmi pada 30 Mei lalu.
Leave a Reply