muhyiddin bersatu

Segerakan penubuhan majlis pemulihan negeri – Muhyiddin

MAJLIS pemulihan negeri perlu segera dibentuk bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi secara bersepadu melibatkan kerjasama Pusat dan negeri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, cadangan berkenaan telah diusulkan beliau kepada kerajaan yang kemudiannya dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, majlis pemulihan itu seeloknya diketuai oleh Menteri Besar atau exco yang bertanggungjawab dalam soal ekonomi di peringkat negeri masing-masing.

Beliau menjelaskan, majlis sedemikian amat penting kerana terdapat banyak perkara khsusnya aspek peraturan berkaitan ekonomi yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

“Soal pentadbiran dan yang berkaitan soal perniagaan ada kaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT), yang mana ini tidak terletak haknya pada Kerajaan Persekutuan.

“Sewajarnya kerajaan negeri juga harus bertindak mengambil langkah-langah yang diperlukan untuk menyelesaikan pelbagai isu malahan beri bantuan dan sokongan supaya mereka yang terkesan seperti peniaga terutama usahawan Bumiputera kecil yang perlukan bantuan dipermudahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberikan contoh tentang operasi perniagaan kecil memerlukan lesen daripada PBT dan ia sewajarnya diberi kelonggaran dengan mengambil kira keadaan semasa.

Katanya, adalah tidak wajar golongan yang mahu berniaga untuk meneruskan kehidupan terpaksa menunggu lesen terlebih dahulu kerana ia akan menjejaskan kehidupan keluarga.

“Itu contoh paling kecil, apatah lagi jika nak dilihat dalam konteks lebih besar

“Sebab itu kita ada tanggungjawab bersama, Kerajaan Pusat, MPN yang beri pandangan dan nasihat dan di peringkat negeri perlu berganding bahu mengambi langkah tertentu yang diperlukan untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, aspek sedemikian jika tidak diberi tumpuan segera akan memberikan kesan besar dan salah satu daripadanya ialah pertambahan kadar kemiskinan.

Beliau berkata, berikutan pandemik COVID-19, semakin ramai golongan T20 sudah menjadi M40 dan begitu juga dengan M40 dan B40 yang turun kategorinya.

“Jelas terbukti bilangan yang sudah jatuh miskin sangat ramai. Sebahagian besar kategori itu orang Islam termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak,” kataya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *