Remaja sempat lihat bapanya cuba selamatkan adik

SEORANG mangsa yang terselamat dalam insiden bot dinaiki tiga beranak itu terbalik di Jalan Kolam Takungan, Taman Cahaya, Sungai Chua, di Kajang, hari ini, sempat melihat bapanya berusaha menyelamatkan adiknya yang tidak pandai berenang.

Mohamad Mustaqim Mohd. Adnan, 17, berkata, sebelum itu dia bersama adiknya, Hakimi Mohd Adnan, 15, membantu bapa mereka, Mohd Adnan Johdi, untuk membersihkan kolam takungan itu sejak pukul 11 pagi.

Katanya, mereka mengutip sampah dan memotong daun teratai sebelum meletakkannya dalam bot dinaiki, namun ia menjadi semakin berat lalu tenggelam.

“Saya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi kolam,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Difahamkan, Mohd. Adnan adalah kontraktor yang melakukan kerja pembersihan kolam berkenaan.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian dengan ahli keluarga saling berpelukan sambil menangis sebaik saja mayat kedua-dua mangsa dijumpai.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, dipetik berkata, mayat Mohd. Adnan ditemui pada pukul 5.12 petang, manakala mayat Hakimi dijumpai pada pukul 6.56 petang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *