Kenyataan Zahid Hamidi bubar MPN bermotif politik-Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan kerana didakwa gagal berfungsi dengan baik, sebagai bermotifkan politik.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Ahmad Zahid boleh membuat dakwaaan namun terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

“Beliau (Ahmad Zahid) boleh kata gagal dan sebagainya. Macam dululah, Ahmad Zahid kata kerajaan gagal (semasa di bawah pimpinan saya) tapi sebenarnya tidak.

“Rakyat boleh membuat penilaian dalam soal menguruskan Covid-19, vaksinasi dan macam-macam yang kita buat dulu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah, hari ini, lapor Sinar Harian.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan barisan kepimpinan parti.

Menurut Muhyiddin, beliau berada dalam MPN untuk membantu negara dan kerajaan tanpa meminta sebarang bayaran atau elaun.

Jelasnya, MPN sekadar mengemukakan cadangan untuk diangkat kepada kerajaan dan tidak mempunyai kuasa eksekutif dan kementerian atau agensi pelaksana.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, setiap usul yang dibawa tidak semestinya sama dengan dasar kerajaan sedia ada.

“Contohnya waktu kita buat keputusan untuk buka sempadan negara, apa yang diputuskan oleh MPN awal Januari tapi nampak kerajaan tangguh, April baru dibuka.

“Kenapa kita minta disegerakan, kalau lagi lambat buka sempadan ekonomi tidak akan berkembang cepat, pelancong tidak akan datang ke negara kita dan kita akan rugi wang yang begitu besar,” katanya.

Muhyiddin menegaskan hanya akan berundur jika rakyat meminta untuk berbuat demikian.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid menggesa MPN dibubarkan selepas kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Menurut beliau, MPN yang dipengerusikan Muhyiddin tidak lagi berkesan dan diperlukan serta bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *