Cari jalan bantu B40, M40 yang sudah jatuh miskin, bankrap akibat pandemik-Muhyiddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara kira-kira dua tahun lalu meninggalkan kesan yang besar terhadap negara antaranya kadar kemiskinan semakin meningkat sehingga mencecah lebih 700,000 orang.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ramai dalam kalangan B40 sebelum ini sudah jatuh miskin manakala golongan M40 pula menjadi B40 akibat pendemik tersebut.

“Data menunjukkan ramai yang sudah jatuh miskin, B40 sudah jatuh miskin manakala M40 iaitu golongan sederhana yang berniaga sudah bangkrap dan runtuh perniagaan sehingga mereka kini menjadi B40.

“Sebahagian besar mereka yang jatuh dalam kumpulan ini merupakan orang-orang Melayu dan Islam serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Kota Bharu, hari ini.

Muhyiddin berkata, usaha membantu mereka dan memulihkan keadaan perlu dilakukan dengan mengumpulkan maklumat termasuk melibatkan pandangan serta nasihat daripada pakar tentang tindakan yang perlu diambil.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara paling segera adalah tindakan seberapa segera yang boleh dan MPN akan akan terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam membantu usaha tersebut.

Bagi membincangkan soal pemulihan selepas pandemik, beliau berkata, kerajaan tidak boleh hanya melihat soal isu tetapi mencari jalan penyelesaian termasuk merealisasikan cadangan penubuhan MPN di peringkat negeri.

Jelasnya, sebagai contoh bagi membantu golongan IKS yang terkesan, terdapat urusan perniagaan berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, kerajaan negeri boleh bertindak dengan mengambil langkah sesuai untuk selesaikan masalah atau dengan memberikan bantuan kepada peniaga-peniaga berkenaan.

Para peringkat awal juga katanya, sekiranya mereka tidak mempunyai lesen tetapi perlu berniaga untuk meneruskan hidup, PBT perlu memberi peluang dan kelonggaran sementara kerana bagi membolehkan mereka berniaga kerana itu merupakan sumber pendapatan mereka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *