Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan terdapat peniaga di negeri itu yang menjual ayam mentah pada harga lebih mahal daripada harga siling ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di tiga buah pasar di daerah Barat Daya dan Timur Laut mendapati, terdapat peniaga yang menjual ayam itu pada harga sehingga mencecah RM11 sekilogram.
“Walaupun segelintir mereka telah menulis harga lama di papan kenyataan, tetapi mereka menjual ayam secara terbuka pada harga RM11 sekilogram, iaitu sekurang-kurangnya seekor dijual pada harga RM12 sekilogram.
“Menurut peniaga, terdapat banyak bekalan ayam di pasaran berbanding aduan sebelum ini yang mendakwa berlaku kekurangan ayam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Jun lalu mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai semalam.
Dalam pada itu, Mohideen menggesa Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyiasat isu berkaitan kenaikan harga bekalan ayam yang jelas boleh menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
“Kita berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa berkaitan terhadap peniaga yang menaikkan harga ayam secara berlebihan dan melanggar Akta Antipencatutan 2010.
“Ini kerana mereka yang berpendapatan rendah akan terjejas teruk akibat kenaikan harga barang,” tambahnya.
Leave a Reply