Zahid usah tuding jari, selesai dulu masalah parti sendiri – Gerakan

PARTI Gerakan hari ini mengecam tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak fokus terhadap masalah dalaman parti pimpinannya, UMNO, sebaliknya, mengalih perhatian orang ramai terhadap pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang lain di dalam kes perbicaraan mahkamah beliau.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, Puvaniten Helan Gova berkata, pendedahan yang dibuat oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini jelas menunjukkan kedudukan sebenar UMNO di peringkat kepimpinan tertinggi.

“Sila selesaikan masalah dalaman UMNO dahulu. Amat jelas situasi sebenar UMNO yang didedahkan oleh Tajuddin berhubung politik dalaman UMNO ketika ini.

  “Pendedahan ini sudah pasti mencetuskan banyak persoalan di peringkat akar umbi parti itu sendiri. Cubalah lihat apa reaksi orang ramai yang meledak di dalam media sosial satu dua hari ini. Rakyat nak kepastian berhubung apa yang sedang berlaku di dalam pucuk pimpinan parti berkenaan dan bukannya menyerong perhatian orang ramai atau menuding jari terhadap parti politik lain dan ahli-ahlinya,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro AWANI.

Puvaniten turut mempersoalkan pendirian Presiden UMNO itu yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dari segi isu yang diketengahkan Tajuddin.

” Pengerusi Barisan Nasional itu kini menghala serangan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Rakyat sedang membuat perhatian dan ini bukan budaya politik zaman dulu yang boleh menyalahkan sesiapa pun atau rakyat senang mempengaruhi untuk apa tohmahan,” ujarnya lagi.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak beberapa hari lalu mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin UMNO dan perlu undur diri secara terhormat, selain mendedahkan keputusan mesyuarat MKT parti itu selama ini dibuat mengikut kehendak bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *