OPERASI mencari dan menyelamat (Carilamat) 10 pemancing bersama tiga kru yang dikhuatiri hilang di laut selepas keluar memancing pada 25 Jun lalu diteruskan hari ini.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli, operasi yang memasuki hari kedua diteruskan dengan turut melibatkan pesawat udara dan sebuah kapal.
Beliau berkata, sektor pencarian membabitkan keluasan 297.5 batu nautika pencarian di udara dan laut.
“Setakat ini, mereka yang hilang dikenali sebagai Norazmalizan Abdullah (tekong); Shaarif Abdullah (kru); Mohd. Anuar Md. Jali (kru) bersama enam orang pemancing.
“Enam pemancing dikenali sebagai Khairul Safuan Naim, Mohd. Faizal Ismail, Mohd. Fuad Mohd. Yusof, Khairul Fareez Ahmad Arshad, Muhamad Marwazi Janid dan Fadzil Mohamed Zakaria.
“Identiti empat lagi pemancing sedang dikenal pasti dan setakat ini, beberapa ahli keluarga mangsa ada menghubungi kita bagi mengesahkan identiti mereka yang hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Media semalam melaporkan, 10 pemancing bersama tiga kru dikhuatiri hilang di laut selepas bot dinaiki mereka tidak pulang sehingga semalam.
Kesemua pemancing terbabit yang dipercayai pergi memancing di kawasan Pelantar Minyak Tapis di perairan negeri Terengganu sepatutnya pulang semalam selepas keluar pada pukul 10 pagi pada Sabtu lalu.
Difahamkan, rakan pemancing mendakwa kali terakhir melihat bot dinaiki kumpulan pemancing itu berada di sekitar Pelantar Minyak Tapis, sekitar 128 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Leave a Reply