Warga emas rentung dalam kebakaran kedai keranda

WARGA emas rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah premis menjual keranda di Jalan Bunga Ray, Melaka, pukul 5.45 pagi tadi.

Mayat mangsa, Loh Yock Sit, 77, ditemui dalam bilik air di tingkat dua rumah kedai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Timbalan Penguasa II Yazid Mohd Tahir, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pukul 5.49 pagi

Susulan panggilan itu dibuat, empat jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bersama 26 anggota.

“Mangsa yang dipercayai bekerja di premis itu mungkin terperangkap di dalam bilik air ketika api marak. Api dapat dikawal pada jam 6.05 pagi,” kata Yazid, mengikut laporan Berita Harian.

Menurutnya, ketika api mula reda, pihak bomba masuk ke premis bagi kerja pemadaman lanjut.

“Daripada maklumat awam, mangsa ada di dalam premis dan kami melakukan pencarian sebelum mangsa ditemui.

“Mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk urusan selanjutnya,” katanya.

Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pukul 7.08 pagi dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta anggaran kerugian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *