SEBANYAK 252,000 biji pil kuda bernilai RM2.52 juta dirampas Polis Kelantan menerusi dua serbuan berasingan diadakan di daerah Kota Bharu dan Bachok, kelmarin.
Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah kedai makan di Kampung Jelujok Banggu, Kota Bharu, pada pukul 3 petang, di mana tiga lelaki berusia 27 hingga 33 tahun ditahan.
Mengulas serbuan itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata ketika kejadian anggota bertugas mendekati dua suspek yang menaiki kereta jenis Honda Jazz, yang ketika itu sedang berurusan dengan lelaki lain berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Icon.
Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pihaknya membuat pemeriksaan pada kenderaan dan menemui satu kotak berisi 14 bungkusan plastik, yang mana di dalamnya mengandungi pil kemerahan dipercayai dadah jenis pil kuda.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 84,000 biji pil kuda pada bungkusan terbabit yang dipercayai untuk pasaran seluruh Kelantan.
“Anggota turut merampas wang tunai RM3,950 disyaki hasil jualan dadah berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini, lapor Berita Harian.
Muhamad Zaki berkata, penahanan itu kemudian membawa kepada serbuan kedua di rumah salah seorang suspek di Kampung Takang, dekat Tawang di Bachok, di mana 168,000 lagi pil kuda bernilai RM1.68 juta ditemukan.
“Semua pil kuda berkenaan ditemukan dalam kotak yang diletakkan di atas kabinet dapur rumah,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 28 Jun sehingga 4 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis Methampethamine, manakala seorang daripadanya memiliki rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.
“Jumlah pil dirampas boleh diedarkan kepada 126,000 penagih dan pihak kami percaya suspek ditahan adalah antara pengedar dadah yang aktif di negeri ini sejak awal 2020,” katanya.
Leave a Reply