SEORANG penjawat awam terkejut bayaran balik pinjaman peribadinya bank melonjak dalam jumlah yang banyak selepas bank melaraskan kadar asas (KA) dan kadar asas pinjaman (KAP), Mei lalu.
Dia yang enggan mendedahkan namanya berkata, lonjakan bayaran itu sehingga RM600 sebulan sekali gus membebankannya.
Sebelum ini bayaran balik pinjamannya RM1,450 sebulan, tetapi bermula akhir bulan ini dia diperlukan membayar RM2,072 sebulan. Saya terpaksa tanggung perbelanjaan bayaran balik yang terlebih sangat.
“Selepas bank isytihar naikkan BLR (kadar pinjaman asas), saya kena bayar lebih RM2,000 setiap bulan. Dengan harga barangan yang hampir semua meningkat, apa yang tinggal untuk saya tanggung keluarga,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.
Katanya, pada 8 Jun lepas, beliau menerima surat rasmi daripada bank berkenaan menyatakan kadar KA dan KAP telah berubah daripada 2.60 peratus ke 2.85 peratus berkuat kuasa 20 Mei 2022.
Dia membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000, empat tahun lepas dan kini berbaki sekitar dua tahun untuk melunaskannya.
Sudah 28 tahun berkhidmat untuk negara, dia terkejut dengan peningkatan mendadak itu dan berasa kecewa dengan kerajaan yang dilihat tidak membuat kajian menyeluruh sebelum bertindak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR).
Kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu menyaksikan rata-rata bank tempatan di negara ini mula menaikkan KA dan KAP masing-masing, sehingga menjejaskan rakyat.
“Bagi saya, kerajaan kena ada mekanisme untuk kaji sesuatu dengan lebih mendalam dan kesannya terhadap orang kebanyakan.
“Kalau harga barang dah naik lepas itu kerajaan naikkan lagi kadar bayaran balik pinjaman, macam mana orang nak seimbangkan dengan harga barang? Kaji betul-betul dulu,” tegasnya.
Bakal bersara sekitar dua tahun lagi, penjawat awam ini sebak memikirkan masa depan keluarga terutama anak-anaknya yang masih bersekolah.
“Saya ada anak yang masih bersekolah. Tiga orang masih bersekolah, dua orang sedang melanjutkan pelajaran di universiti. Semua masih bergantung pada mak ayah mereka. Sudahlah harga barang semua naik,” ceritanya.
Leave a Reply