Bayi maut ditembak budak 8 tahun menggunakan pistol bapa

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menembak mati seorang bayi dan mencederakan adik perempuannya ketika bermain dengan pistol bapanya di Florida, Amerika Syarikat, kata polis.

Bapa kanak-kanak, Roderick Randall, 45, ditahan serta didakwa atas tuduhan cuai, bersalah memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang serta menyembunyikan bukti, kata Syerif Daerah, Escambia Chip Simmons.

Tragedi itu berlaku di sebuah motel di mana Randall yang mempunyai rekod jenayah lampau melarangnya daripada memiliki senjata api bertemu dengan teman wanitanya.

Suspek membawa anaknya, manakala teman wanitanya membawa dua anak perempuannya, yang masing-masing berusia dua tahun dan setahun.

“Pada satu ketika, Randall keluar dan meninggalkan senjata api miliknya di dalam almari.

“Mengetahui di mana ia tersembunyi, anak suspek mengeluarkannya dan mula bermain dengan senjata itu ketika ibu kanak-kanak perempuan berkenaan sedang tidur.

“Dia menarik pistol di sarung, mula bermain dengannya dan melepaskan tembakan ke arah kanak-kanak kecil berusia setahun dan akhirnya membunuhnya. Peluru itu kemudiannya mengenai kanak-kanak berusia dua tahun sehingga menyebabkan kecederaan,” kata Escambia dalam sidang media, mengikut laporan Astro Awani.

Apabila Randall pulang, dia mengambil pistol dan bahan yang tidak dikenal pasti, dipercayai dadah dan keluar dari bilik berkenaan sebelum polis tiba.

“Setiap tahun, beratus-ratus kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) mendapat akses kepada senjata tidak selamat, diletakkan di dalam almari dan laci meja, dalam beg galas atau hanya ditinggalkan, menurut laporan oleh organisasi Everytown For Gun Safety.

Secara umumnya, senjata api menyebabkan kira-kira 40,000 kematian setahun di AS, termasuk bunuh diri, menurut laman web Arkib Keganasan Senjata. – AFP


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *