mohamaddin ketapi

Mohamaddin Ketapi keluar Bersatu, jadi wakil rakyat bebas

AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar dari Bersatu dan menjadi wakil rakyat bebas.

Memetik laporan FMT, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu memberi alasan beliau tidak diberi apa-apa peranan sejak menyertai parti itu November lalu.

Beliau akan menjadi Ahli Parlimen dan ADUN bebas yang menyokong kerajaan.

Mohamaddin pernah mencetuskan kontroversi semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sekitar September 2020 apabila mendakwa insiden serangan kumpulan pengganas Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu sebagai sandiwara.

Ketika itu beliau masih bersama Warisan dan berkempen di Kampung Wawasan Lahad Datu.

“Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU (pilihan raya umum) yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.

“Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihan raya tiada pula peperangan itu.

“Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Dalam insiden itu, seramai 10 wira negara terkorban dalam Op Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.

Tidak cukup dengan itu, Mohamaddin yang pernah menjadi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan semasa era rejim Pakatan Harapan (PH) pernah mendakwa kononnya penularan COVID-19 yang meningkat semasa PRN Sabah sebagai konspirasi politik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *