Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
MAYAT kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang petang semalam dijumpai kira-kira pukul 9.15 pagi ini.
Mangsa, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah dijumpai tersangkut di tali pukat tidak jauh dari pesisiran Pantai Bersih di Butterworh.
Pegawai Kanan Bomba II, Unit Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Muhammad Isharudin Ismail berkata, ketika dijumpai mayat mangsa berada dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kesan luka.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, Muhammad Mikhaeil Muqmin dikatakan hanyut dibawa arus semasa sedang mandi bersama tiga rakannya di kawasan jeti berkenaan kira-kira pukul 5.45 petang.
Difahamkan mangsa mandi bersama tiga lagi rakannya yang turut hanyut dibawa arus namun berjaya diselamatkan orang awam.
Dalam pada itu, seorang pemancing yang kebetulan berada di lokasi yang cuba menyelamatkan mangsa bagaimanapun turut lemas dan diselamatkan orang awam sebelum dikejarkan ke hospital.
Leave a Reply