KPDNHEP rampas 13.6 tan metrik minyak masak bersubsidi bernilai RM88,785

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BERSELINDUNG di sebalik aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai di sebuah kilang di Kota Masai, Pasir Gudang tetapi sebenarnya menjalankan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Kegiatan tersebut terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melakukan serbuan serta pemeriksaan di premis tersebut semalam.

Menurut Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro, serbuan dilakukan pukul 11 pagi oleh enam anggota pengkuat kuasa KDPNHEP Johor Bahru sebelum melakukan sitaan.

“Premis ini disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dengan cara memotong minyak masak plastik polybag dan mencampurkan ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak untuk jualan dan keuntungan lebih.

“Pasukan serbuan telah menemui serta menyita sejumlah 13,610 kilogram minyak masak dalam 20 tangki di tempat kejadian yang disyaki telah dicampur bersama minyak masak terpakai.

“Selain itu, sitaan juga dibuat ke atas peralatan yang diguna pakai bagi menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi beserta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua barangan itu telah dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan nilai rampasan minyak itu RM88,785.

KPDNHEP menyita sejumlah 13,610 kilogram minyak masak di tempat kejadian yang disyaki telah dicampur bersama minyak masak terpakai.

Dalam serbuan ini juga pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun merupakan pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, kegiatan tersebut sudah dilakukan kira-kira setahun lalu dan hasilnya dijual kepada syarikat biodesel.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, jika sabit kesalahan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya. Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap pemilik premis tersebut,” katanya.

Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi talian 03-8000 8000 Malaysia Goverment Call Centre (MYGCC); call centre 1800 886 800; enforcement command centre (ECC) 03-8882 6245/6088; nombor aduan Whatsapp KPDNHEP iaitu 019–279 4317; emel [email protected]; aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana-mana lapan pejabat KPDNHEP di seluruh Johor.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *