Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud

KP Imigresen nafi tahanan Indonesia dilayan buruk

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menafikan kenyataan beberapa laporan antarabangsa berkenaan kematian dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan warga Indonesia di Depot Tahanan Imigresen di Tawau, Sabah.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menyifatkan laporan sebuah kumpulan bebas dari negeri itu seabgai tidak berasas.

Jelas beliau, pengurusan depot-depot imigresen di seluruh negara adalah menepati piawaian dan standard ‘The Mandela Rules’ selain memberi layanan yang baik kepada semua tahanan termasuk tahanan Indonesia.

“Malah rawatan kesihatan awal diberikan oleh penolong pegawai kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang ditempatkan secara kader di semua depot imigresen manakala kes-kes kesihatan serius akan dibawa terus ke hospital kerajaan berdekatan.

“Mengenai tuduhan ini, JIM ingin menjelaskan bahawa jumlah tahanan Indonesia yang meninggal dunia di depot-depot Imigresen di Sabah ialah 18 orang pada 2021 dan enam orang bagi tahun 2022.

“Mereka meninggal dunia semasa dirawat di hospital kerana menghidap pelbagai penyakit seperti masalah jantung, buah pinggang, COVID-19 dan paru-paru berair,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

Khairul Dzaimee menambah, JIM mempunyai prosedur tetap dalam menguruskan kematian tahanan seperti laporan polis akan dibuat oleh pegawai bertugas apabila berlaku kematian selain pihak hospital akan mengeluarkan laporan perubatan yang menjelaskan punca kematian serta pengesahan kematian pula dibuat oleh Hakim Koroner.

“Sekiranya kematian tahanan berpunca daripada salah laku pegawai bertugas, mereka boleh dikesan dengan mudah dan siasatan sewajarnya akan dilaksanakan mengikut undang-undang,” katanya.

Memetik kumpulan pejuang kebajikan pekerja buruh Indonesia, Koalisi Buruh Migran Berdaulat mendedahkan laporan Seperti di Neraka: Kondisi Pusat Tahanan Imigrasi di Sabah, Malaysia.

Kumpulan itu menyediakan laporan selepas menemubual lebih 100 bekas tahanan warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal mereka.

Koalisi itu juga menjangkakan kadar kematian bagi buruh migran Indonesia yang mengalami penyakit juga bertambah.

Koalisi Buruh Migran Berdaulat juga menyatakan 57 tahanan adalah kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Bekas tahanan yang ditemubual itu juga mendakwa depot tahanan Imigresen di Tawau tidak selesa apabila pada satu-satu masa melebihi kapasiti selain tandas yang kotor dan terpaksa tidur di atas papan lapis.

Bekas tahanan juga memberi contoh dan mendakwa, mereka terpaksa tidur di tandas ekoran kesesakan tahanan di depot tahanan di Tawau.

Selain itu, depot tahanan di Sabah juga didakwa kekurangan fasiliti kesihatan selain tiada klinik, pegawai perubatan dan tiada ubat-ubatan.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memohon maaf atas kekeliruan dalam keterangan mengenai 149 tahanan asal Indonesia meninggal dunia di Depot Tahanan Imigresen di seluruh Sabah.

Sebaliknya menurut satu kenyataan, jumlah 149 itu adalah jumlah keseluruhan warganegara asing yang meninggal dunia sejak 2021 hingga Jun 2022.

Kenyataan itu juga menjelaskan pada tahun 2021, 18 tahanan Indonesia masing-masing 17 lelaki dan 1 wanita meningga dunia manakala tujuh tahanan iaitu enam lelaki dan satu wanita meninggal dunia dari Januari hingga Jun 2022.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *