Kalau berani buatlah pemilihan…Zahid patut berundur – Nazri

AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, mendesak supaya pemilihan UMNO diadakan secepat mungkin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, berkata buat masa ini pemilihan parti adalah lebih penting untuk diadakan berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan UMNO dibubarkan.

“Buatlah pemilihan parti kalau berani, …nak hadapi PRU berani …(perlu berani) hadapi pemilihan parti juga. Apa yang perlu dibuat UMNO ketika ini adalah pemilihan bukannya PRU.

“Saya risau kalau tidak dibuat sebelum Disember, UMNO akan dibubar sebab kita ada 18 bulan bermula Jun tahun lalu untuk adakan pemilihan,” katanya lapor Berita Harian.

Jun tahun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan UMNO menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

Ahmad Maslan dilaporkan berkata, sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Mei lalu, UMNO meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU-15.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamed Nazri berkata, pindaan itu difahaminya terpakai untuk digunakan pada masa akan datang.

“Fahaman saya sebagai seorang peguam, pindaan digunakan untuk masa depan bukan sekarang. Apa yang UMNO perlu buat adalah mengadakan pemilihan parti,” katanya.

Beliau mengulas mengenai gesaan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya secara terhormat demi kepentingan parti.

Mengulas mengenai gesaan itu, Mohamed Nazri berkata, amalan dalam UMNO sebelum ini memutuskan mana-mana pemimpin yang mempunyai kes di mahkamah perlu berundur sebagai presiden parti.

Beliau berkata, atas dasar itu, Ahmad Zahid juga perlu membuat tindakan sama dengan menarik diri seperti dilakukan pemimpin dalam UMNO sebelum ini.

“Ahmad Zahid patut tarik diri, …amalan lepas menunjukkan siapa ada kes perlu berundur seperti mana Dr Mohamad Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor); Tan Sri Muhammad Muhd Taib (bekas Naib Presiden UMNO) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka).

“Malah, sebelum ini, UMNO buat keputusan sesiapa ada kes perbicaraan perlu mengundurkan diri bagi fokus kepada kes supaya kes peribadi tidak dijadikan kes parti.

“Tetapi tak undur diri pula (Ahmad Zahid) itu yang jadi masalah sekarang,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, pihaknya menyokong tindakan Tajuddin mendedahkan perkara itu bagi membolehkan ahli parti membuat keputusan sebaiknya.

“Ia kebebasan bersuara, …Tajuddin dah bukan ahli MKT, jadi orang tidak boleh marah beliau. Beliau cakap benda betul. Biar rakyat dan ahli UMNO membuat keputusan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *